Pengerusi Gagasan Bertindak Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Datuk Manan Amir bercakap pada sidang media menjawab kenyataan akhbar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkenaan ketirisan kewangan Masjid Sultan Abdul Aziz Jalan Templerdi Koperasi Melayu Petaling Berhad, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 08 OKTOBER 2019

PETALING JAYA – Gagasan Bertindak Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz (MJSAA) di Jalan Templer di sini mendesak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengembalikan semula pentadbiran masjid itu kepada kariah masjid berkenaan.

Langkah itu adalah bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku sejak 2016 berhubung laporan kewangan masjid tersebut yang mencurigakan, kata Pengerusinya, Datuk Ir. Manan Amir.

Beliau mendakwa, JAIS telah gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya mentadbir masjid itu sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan kariah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kita tidak boleh nak tunggu dah, kembalikan sekarang. Kita nak mereka tunaikan permintaan kita hari ini.

“Sudah jelas dan nyata JAIS gagal, terlalu banyak muslihat yang dibuat. Kegagalan terlalu nyata, biar kita tadbir sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sebelum ini, Gagasan Bertindak MJSAA mendakwa berlaku ketirisan terhadap kewangan masjid itu yang diurus oleh JAIS sejak Januari 2016.

Ini kerana, berlaku peningkatan kos yang mendadak terhadap penggunaan kewangan masjid selain wujud akaun lain yang digunapakai bagi tujuan itu.

Malah, pengurusan baharu itu dikatakan gagal mempamerkan laporan kewangan terkini masjid kepada ahli kariahnya sehingga menimbulkan rasa curiga yang mana terdapat dakwaan kutipan wang yang didermakan oleh para jemaah telah diselewengkan.

Manan berkata, paling mendukacitakan ialah apabila beberapa pucuk surat yang dihantar kepada JAIS untuk mendapatkan penjelasan terhadap perkara berbangkit tidak pernah berjawab, sebaliknya pihak tersebut membalas dengan membuat kenyataan kepada media baru-baru ini.

Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz di Jalan Templer, Petaling Jaya, Selangor. foto AFAN FAUZI, 08 OKTOBER 2019

Ujarnya, langkah yang dimbil oleh pihak JAIS itu adalah sekadar mahu menutup kelemahan, kesilapan serta kecuaian yang dilakukan oleh orang-orang terlibat didalam institusi berkenaan.

Katanya lagi, Gagasan Bertindak MJSAA tidak boleh membiarkan peningkatan kos pengurusan masjid itu terus berlaku dan mahu permintaan mereka untuk mengurus sendiri masjid itu dipercepatkan.

Manan turut mengingatkan tindakan selanjutnya akan diambil jika permintaan itu tidak ditunaikan segera dengan membuat laporan kepada pihak berwajib.

Tegasnya, tindakan undang-undang juga akan dibuat sekiranya JAIS tidak mahu mendengar desakan kariah yang telah hilang kepercayaan terhadap institusi tersebut semata-mata kerana perkara berkenaan. – MalaysiaGazette