Datuk Seri Salleh Said Keruak
Datuk Seri Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Cabang PKR Sepitang, Sabah hari ini berpendapat penyertaan Datuk Seri Salleh Said Keruak ke dalam parti itu mampu untuk mengukuhkan kedudukan PKR di negeri itu.

Menurut ketuanya, Wendey Agong Baruh, PKR harus menerima lebih ramai lagi keahlian daripada parti lain kerana parti itu kini pada tahap yang lemah.

“Kita seharusnya memikirkan berkenaan parti dengan memperkukuhkan serta menerima lebih ramai keahlian bagi menghadapi PRU-15 dan bukannya khuatir akan kedudukan dalam parti sedangkan PRK Sabah dalam tahap paling lemah walau bersama WARISAN menubuhkan kerajaan negeri.

“Beliau (Salleh Said Keruak) selaku pemimpin suku kaum Bajau yang mempunyai ramai pengikut di Sabah dilihat boleh membantu memperkukuh parti dan jentera memandangkan beliau mantan pimpinan Barisan Nasional dan sudah pastinya kita perlu apa yang beliau ketahui terutama kelemahan BN itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Wendey Agong berkata, tuduhan beberapa pihak yang mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terdesak menarik Salleh Said bagi mengukuhkan kedudukan beliau untuk menjadi Perdana Menteri juga merupakan tuduhan  tidak berasas.

“Salleh Said bukan seorang ahli parlimen dan tidak ada sebarang jawatan pun jika dibandingkan dengan beberapa parti yang terdesak menarik ADUN dan ahli parlimen pembangkang bagi menambah kerusi mereka,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak percaya tiada masalah untuk parti itu menerima permohonan keanggotaan Salleh Said sekiranya ia menguatkan parti kedudukan parti.

Bagaimanapun, katanya, ia terpulang kepada keputusan Biro Politik parti yang seterusnya dibawa kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR untuk diputuskan sama menerima atau tidak permohonan itu.

Malah Farhash juga percaya berdasarkan kepada pengalaman dan latar belakang keluarga, bekas menteri itu boleh memperkuatkan PKR di Sabah. – MalaysiaGazette