PDRM custodial deaths death lockup police
PDRM

JASIN – Seorang ketua pengajar di sebuah madrasah di Bemban, di sini, direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz berusia 14 tahun sejak setahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Nor Yhazid Idris berkata suspek berumur 28 tahun ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Mohd Nor Yhazid berkata selain mangsa, suspek dipercayai turut melakukan perbuatan sama terhadap pelajar tahfiz lain di madrasah berkenaan.

“Suspek bertugas secara bergilir-gilir dengan guru lain untuk menjaga asrama penginapan pelajar lelaki sebanyak dua kali seminggu dan berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu dengan meminta mangsa mengurutnya sebelum suspek bertindak mengurut mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut beliau, madrasah itu merupakan bangunan setingkat yang dijadikan sebagai tempat pembelajaran, solat serta penginapan asrama yang menempatkan kira-kira 31 pelajar tahfiz lelaki berusia antara tujuh dan 17 tahun.

— BERNAMA