KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan ucapannya di Kongres Maruah Melayu Ahad lalu yang berkisar kepada orang Melayu malas dan masih berharap kepada bantuan.
Kata Perdana Menteri itu, apa yang beliau ucapkan itu adalah realiti kerana sememangnya masih terdapat masyarakat Melayu yang tidak mahu melakukan kerja-kerja berat sebaliknya sanggup menunggu bantuan.
“Saya dapati ada orang tak nak kerja, maknanya dia tiada minat. Kalau kita tak boleh tegur orang, macam mana kita nak betulkan orang?
“Kalau dia buat salah pun kita puji, itu salah. Saya cuma kata maruah orang Melayu ini akan dipulih semula oleh orang Melayu sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu ditanya mengenai gesaan pelbagai pihak termasuk penganalisis supaya beliau berhenti mengeluarkan kenyataan yang berbaur provokasi dalam kalangan orang Melayu.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, hanya orang Melayu yang boleh memperbaiki taraf hidup mereka dan bukan kerajaan atau mana-mana pihak lain.
“Saya cuma berkata maruah orang Melayu ini akan dipulih semula oleh orang Melayu sendiri. Kita tak boleh harap pada orang lain, tak boleh harap pada kerajaan. Itu yang isi kandungan ucapan saya dan saya tak fikir saya buat sesuatu yang salah,” katanya lagi.
Dr. Mahathir pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Melawati Shah Alam, Ahad lalu berucap, masyarakat Melayu ketika ini tidak sanggup mengambil kerja tertentu kerana berasa ia hina serta tidak memberikan pulangan yang banyak, menjadikan pekerjaan sedemikian diisi orang asing. -MalaysiaGazette