Reaksi sedih seorang kakitangan Utusan Malaysia berikutan notis arahan penutupan Bangunan Utusan Malaysia di Pejabat Utusan Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – “Luluh hati saya apabila menerima memo pekeliling syarikat. Tak sangka begini cara pengakhiran tempat saya mencari rezeki.”

Demikian luahan Nor Asikin Hassan, 48, yang tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila majikannya, Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) akhirnya menutup operasinya selepas berdepan dengan pelbagai masalah kewangan.

Mulai hari ini, syarikat media itu berusia 80 tahun itu akan menghentikan operasinya dan tarikh akhir perkhidmatan kakitangannya bermula esok.

Nor Asikin berkata, selama ini dia tidak putus berdoa walaupun gaji bulanan lewat sejak akhir tahun lalu dan pernah tertunggak selama tiga bulan pada tahun ini.

Jelasnya yang merupakan Pengarang Meja Hiburan, sejak Utusan Melayu diuji, dia sentiasa menaruh harapan tinggi dan percaya ada sinar yang kembali bercahaya.

“Namun memorandum pekeliling itu merobek hati saya. Luluh saya dibuatnya.

“Dari semalam, sebaik mendapat spekulasi penutupan operasi syarikat, saya tidak boleh tidur hingga ke pagi memikir hal tersebut,” katanya yang berkhidmat selama 24 tahun di Utusan Melayu.

Nor Asikin berharap keputusan pada 30 Oktober ini akan berpihak kepada dirinya dan rakan-rakan untuk berkhidmat di institusi keramat Melayu itu.

Sementara itu, tinjauan mendapati, ramai kakitangan syarikat berkenaan diselebungi kesedihan dan masing-masing berpelukan sama sendiri.

Seorang kakitanagn Utusan Malaysia membawa keluar barangan dari pejabat berikutan notis arahan penutupan Bangunan Utusan Malaysia di Pejabat Utusan Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 OKTOBER 2019.

Kelihatan juga antara mereka membawa barangan masing-masing ke kereta dengan wajah kepiluan.

Seorang kakitanagn Utusan Malaysia membawa keluar barangan dari pejabat berikutan notis arahan penutupan Bangunan Utusan Malaysia di Pejabat Utusan Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 OKTOBER 2019

Dalam pada itu, Presiden NUJ Utusan Melayu, Mohd. Taufek Razak berkata, kakitangan Utusan Melayu kini berada dalam keliru selepas syarikat akhbar Melayu itu akan menghentikan operasinya hari ini.

Beliau menjelaskan, surat pekeliling syarikat yang diterima seramai 862 kakitangan menjelaskan merekan akan berkhidmat sehingga 30 Oktober ini dan masih dibayar gaji.

Presiden NUJ Cawangan Utusan, Mohd Taufeq Razak bercakap kepada media berkenaan penutupan Utusan Melayu Berhad selepas hari terakhir beroperasi di Bangunan Utusan Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 09 OKTOBER 2019.

Menurut beliau, situasi itu menjadi persoalan buat kakitangan mengenai nasib mereka samada akan terus berkhidmat atau diberhentikan selepas hujung bulan ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas NUJ Utusan Melayu selepas syarikat itu mengeluarkan memorandum pekeliling mengenai penutupan operasi pada pagi ini. – MalaysiaGazette