Datuk Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak antara individu yang berkemungkinan akan dipanggil polis berhubung siasatan kes hina Sultan Selangor oleh sebuah akaun Facebook bernama Nga Kor Ming Super Fans Page yang tular 30 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed bagaimanapun tanpa merujuk secara langsung kepada bekas perdana Menteri itu, menjelaskan pihaknya akan memanggil sesiapa sahaja untuk dirakam keterangan.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada Najib akan dipanggil mengambil keterangan selepas Pengerusi DAP Perak mendakwa ia adalah fitnah yang disebarkan oleh oleh bekas Presiden UMNO itu menerusi Najib Razak Page dan menggesa siasatan polis.

“Kita terima satu laporan polis terhadap Najib Razak Page (akaun Facebook) daripada orang awam. Kita akan siasat laporan polis yang kita terima itu.

“Jika perlu sesiapa sahaja kita akan panggil. Sekiranya perlu (termasuk Najib),” katanya pada sidang media harian di Bukit Aman hari ini.

Dalam pada itu, Huzir juga mengesahkan dalam kes saman Kor Ming yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang telah hadir untuk memberi keterangan dalam kes itu akan dipanggil semula.

“Katanya dia (Kor Ming) akan dipanggil dalam masa terdekat ini,” kata Huzir tanpa menjelaskan spesifik tarikh dan waktunya apabila ditanya pemberita.

Semalam, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan hadir ke Bukit Aman 1.30 petang dan diambil keterangan sebelum meninggalkan premis itu pukul 3 petang berhubung siasatan akaun Facebook mengaitkan penyokong nama beliau dihasut untuk membantah Sultan Selangor berikutan arahan baginda dalam penukaran papan tanda tulisan Jawi di Shah Alam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Himpunan Maruah Melayu di Stadium Melawati Shah Alam pada 6 Oktober lalu, Huzir mengesahkan satu laporan polis diterima berhubung Maruah Melayu ke atas Prof.Universiti Perguruan Sultan Idris, Dr. Zainal Kling berhubung ucapannya.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505b Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 2008,” katanya tapi enggan mengulas lanjut.-MalaysiaGazette