Menteri Pengangkutan, Yb Anthony Loke bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Tren Elektrik 2 (ETS2) dan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh di Stesen Kereta Api Ipoh, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 10 OKTOBER 2019

IPOH – Parti Tindakan Demokrasi (DAP) masih tiada maklumat terperinci berhubung penahanan dua wakil rakyatnya masing-masing di Melaka dan Negeri Sembilan.

Setiausaha Organisasinya, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, sehingga kini pihaknya tidak dapat mengesahkan insiden terbabit dan akan membawa isu itu ke peringkat tertinggi parti itu.

“Kita belum mendapat maklumat, kita akan bincang dan dapatkan maklumat lanjut sebelum kita memberikan komen selanjutnya.

“Kita tiada maklumat mengapa kedua-duanya ditahan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS2) dan Pelan Pembangunan Stesen Keretapi Ipoh, di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai Exco Perpaduan, Sumber Manusia, NGO dan Hal Ehwal Pengguna, G Saminathan ditahan dan digari di pejabatnya, Seri Negeri oleh pihak polis hari ini bagi membantu siasatan.

Penahanan Saminathan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek itu telah disahkan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Menerusi hantaran di Facebook Pergerakan Pemuda Bahagian Kota Melaka, Saminathan ditahan oleh Polis Anti Pengganas dari Bukit Aman kerana didapati terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam).

Sementara itu, di Negeri Sembilan, ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran juga dipercayai telah ditahan oleh pihak berkuasa polis yang sama pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada pengesahan dilakukan sehingga kini ini. – MalaysiaGazette