Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memuat naik paparan berita bertajuk “Kadir Jasin: “Budak-budak tingkat empat’, retorik pro-kerajaan patut disalahkan punca Utusan berkubur” di laman Instagram.

Di bawah paparan berita tersebut, beliau menulis nota menangkis rumusan yang dibuat oleh tokoh wartawan yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk A. Kadir Jasin.

Ahli Parlimen Rembau itu menulis: “Tidak, kemerosotan arus perdana Utusan dan NSTP bermula dengan liputan berat sebelah kes liwat bahagian pertama. Ketika itu A. Kadir Jasin, pengarang NST’.

Khairy yang merupakan menantu kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi merujuk kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhadapan pertuduhan itu pada tahun 1998 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Beliau menyanggah tulisan Kadir di laman blognya yang membuat rumusan bahawa ‘budak-budak tingkat empat’ di zaman Abdullah dan lebih teruk lagi di zaman Najib menjadi punca kemerosotan media arus perdana sehingga membawa kepada penutupan operasi Utusan Malaysia hari ini.

Kadir berkata, pelantikan muka-muka baru mengetuai jabatan pengarang media berkaitan UMNO dan campur tangan kerajaan yang melampau dalam pemberitaan punca kemerosotan jualan akhbar Utusan Malaysia.

Beliau mengaitkan rumusannya itu dengan  “fourth floor boys” (budak-budak tingkat empat) di Pejabat Perdana Menteri pada zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menurutnya terpaksa dipersalahkan.

Menulis lanjut, Kadir berkata, salah satu kesilapan paling besar mereka adalah menggunakan media massa untuk mematikan legasi Dr Mahathir dan menonjolkan Abdullah.

Khairy merupakan salah seorang dalam pasukan penasihat Abdullah yang terkenal dengan jolokan ‘budak-budak tingkat empat’ ketika itu. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

‘Budak-budak tingkat empat’ punca Utusan Malaysia ditutup