Setiasuaha Agong Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia, Chin Sung Chew.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) bimbang masalah yang dihadapi Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) akan ‘berjangkit’ kepada syarikat media lain di negara ini.

Setiausaha Agung NUJ, Chin Sung Chew, syarikat media lain wajar menjadikan kes UMMB sebagai pengajaran dalam keadaan industri media tradisional yang semakin tidak diterima masa ini.

“Nasib kira-kira 800 pekerja media hilang tempat cari makan semalaman tidak boleh dipandang ringan.

“NUJ komited membantu ahli-ahlinya bagi mendapatkan pampasan akibat keputusan pengurusan UMMB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sung Chew, NUJ kecewa dengan apa yang dibimbangi pihaknya dahulu kini berlaku kepada UMMB dan pasti memberi ancaman kepada syarikat media lain.

Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu Mohd Taufek Razak menggesa Utusan Melayu (Malaysia) Bhd membayar pampasan dan gaji pekerja tertunggak susulan menamatkan perkhidmatan semua pekerjanya berikutan berdepan prestasi syarikat yang merosot.

Presiden NUJ Malaysia dan Utusan Melayu, Mohd Taufek Razak

Beliau berkata, keputusan Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! memberhentikan operasi berkuat kuasa semalam menyebabkan kebanyakan pekerjanya mengalami kesempitan hidup.

“Kami mahu pihak syarikat bukan sahaja membayar pampasan kepada semua pekerja tetapi juga membayar faedah perkhidmatan lain seperti tuntutan perjalanan dan perubatan termasuklah bayaran ganjaran gratuiti, yang tidak dibayar sejak tahun lepas.

“Kami juga mahu syarikat membayar gaji pekerja yang tertunggak selama dua bulan iaitu September dan Oktober. Itu adalah harapan besar kami, apatah lagi dengan keadaan kami yang tiada kerja, apa yang jadi harapan kami adalah duit sebab nak teruskan hidup,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.- MalaysiaGazette