Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba

KUALA LUMPUR- Pemansuhan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar akan menjadi sepertimana pemansuhan GST sebelum ini.

Itu keyakinan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Menurutnya, ini kerana akta yang sedia ada sebenarnya masih tidak mampu untuk mengekang penyebaran berita tidak benar dan atas dasar itulah pembangkang menyatakan hujah di Parlimen mengenai manfaat akta tersebut.

“Sepatutnya kita perlu sama-sama menolak pembentangan pemansuhan ini kerana kita perlukan satu undang-undang untuk memastikan berita palsu tidak tersebar dalam dunia maya yang dikatakan begitu hebat hari ini.

“Saya tidak nampak kalau tidak gunakan Akta ini untuk membantu negara menyelamatkan generasi muda pada masa depan. Singapura buat, Filipina buat, Jerman buat dan kita mengundur ke belakang. Kami di pihak pembangkang telah bersatu-padu memberikan hujah agar pemansuhan ini dibatalkan,” katanya dipetik daripada laporan UMNO-Online hari ini.

Menurut Adham, kerajaan akan membentangkannya kembali RUU itu apabila negara menjadi kecoh pada satu hari nanti.

“Kerajaan PH hari ini undur ke belakang dan sentiasa beri maklumat mengundur kepada masyarakat. Yakin satu hari nanti mereka akan bentang balik undang-undang ini kerana apabila negara dah jadi kecoh… kerana kita bukan sahaja bangsa Melayu sahaja, ada bangsa-bangsa lain, Cina, India dan pelbagai etnik lain yang begitu sensitif dengan berita-berita palsu.

“Sebagai contoh, sebelum ini di Johor apabila ada orang mewar-warkan pemberian percuma di salah satu pasaraya Pontian ianya tidak benar… adakah orang yang menyebarkan peristiwa berkenaan dihukum dengan akta sedia ada. Akta sedia ada pun tidak cukup untuk mengekang,” ujarnya.

Semalam, Dewan Rakyat memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 walaupun Ahli Parlimen BN, Pas dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) bersatu hati membantah dengan memberikan pelbagai hujan dan bukti.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin sewaktu penggulungan rang undang-undang itu berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) komited untuk memansuhkan akta tersebut kerana tidak mahu ada pihak menjadi mangsa kezaliman akta tersebut selain didapati berpotensi untuk disalahguna.

Menurut buku Rang Undang-undang itu yang diedarkan kepada media pada Isnin, ia antara lain menyebut mengadakan peruntukan bagi pemansuhan Akta 803, disebabkan oleh perubahan dasar kerajaan bahawa berita tidak benar boleh ditangani di bawah undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). – MalaysiaGazette