Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin hari ini mengumumkan keluar Barisan Nasional dan menjadi wakil rakyat bebas.
Mas Ermieyati Samsuddin

KUALA LUMPUR – Senarai penuh individu dan entiti yang dikenakan kompaun berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum muktamad, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Beliau merujuk dakwaan SPRM menggugurkan nama Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada senarai 80 individu dan entiti yang dumumkan Isnin lalu.

Menjelaskan lanjut, Latheefa berkata, senarai yang dikemukakan baru-baru ini adalah bagi individu-individu yang menerima jumlah RM500,000 dan ke atas.

“Pendekatan SPRM adalah untuk memberi prioriti kepada jumlah-jumlah yang lebih besar.

“Kriterianya adalah jumlah wang terlibat dan bukan perkara lain,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

Menurut beliau, SPRM mengambil tindakan secara rapi dan teratur dalam proses mendapatkan semula wang 1MDB yang merupakan milik rakyat secara berperingkat tanpa memihak kepada sesiapa.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad hari ini mempersoalkan bagaimana nama Mas Ermieyati tidak ada dalam senarai yang diumumkan Latheefa baru-baru.

Sedangkan, katanya, sebelum Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), namanya bersama tiga pemimpin UMNO tersenarai sebagai individu yang telah ditawarkan untuk mengkompaun kes di bawah akta berkenaan. – MalaysiaGazette

Ajaib, nama Mas Ermieyati tiada dalam senarai SPRM? – Shahrir