Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh
Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat mendesak dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang disiasat berhubung penglibatan ekstremisme Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) meletak jawatan.

Ini kerana, rakyat Malaysia seluruhnya menolak mana-mana pemimpin yang terlibat dengan kegiatan ekstremis, pengganas dan militan.

Ketua DUPP, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pihaknya kesal kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran dan ADUN Gadek, Melaka, G Saminathan yang menguruskan masyarakat didakwa terlibat mempunyai ideologi ekstremisme.

“Berdasarkan penglibatan ekstremisme LTTE ini, pihak DUPP mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan mana-mana rakyat Malaysia samada secara langsung ataupun tidak di dalam kumpulan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, LTTE yang diasaskan oleh Velupillai Prabhakaran adalah kumpulan pengganas yang beroperasi dengan menggunakan senjata api dan bom. LTTE antara kumpulan yang diharamkan oleh 32 buah negara termasuk Malaysia. – MalaysiaGazette