Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan pertuduhan terhadap Cheah Yew Keat (Cheah), bekas Pengarah Urusan (MD) DIS Technology Holdings Bhd (DISTECH), dengan lima pertuduhan dagangan orang dalam bagi saham DISTECH.

Kesemua lima pertuduhan tersebut adalah atas kesalahan dagangan orang di bawah seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Cheah didakwa telah menjual sebanyak 2,884,300 unit saham DISTECH melalui akaun milik Chuah Ni ketika mempunyai maklumat bukan awam, antara 1 Mac 2010 dan 4 Mac 2010.

SC berkata, maklumat bukan awam yang dirujuk dalam semua pertuduhan tersebut adalah berkaitan dengan dakwaan salah nyata laporan kewangan suku tahun DISTECH antara Suku Tahun Ketiga 2008 dan Suku Tahun Keempat tahun 2009 yang mempunyai kesan yang signifikan terhadap keputusan kewangan DISTECH.

Dagangan orang dalam merupakan kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.

Cheah memohon dibicarakan atas pertuduhan itu. Hakim Mahkamah Sesyen, Hasbullah Adam, yang menetapkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin, juga memerintahkan Cheah untuk menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah. – MalaysiaGazette