Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan format baharu nombor pendaftaran bagi entiti perniagaan yang berdaftar dengannya bermula hari ini.

Format baharu ini diperkenalkan bagi menggantikan nombor pendaftaran syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad sedia ada, selaras dengan inisiatif kerajaan untuk menggunakan satu format pendaftaran tunggal bagi entiti perniagaan di Malaysia di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana 2012 hingga 2020.

Format baharu nombor pendaftaran entiti perniagaan SSM ini mengandungi 12 digit dijangka akan memudahkan
pengurusan data dan pembangunan sistem kerana ia merupakan satu format nombor yang menepati piawaian bagi kesemua jenis entiti perniagaan.

Bagi syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad yang didaftarkan pada dan selepas pelaksanaan format baharu, SSM akan memperuntukan dua format nombor (iaitu format lama dan baharu).

SSM berkata, format nombor baharu ini mengandungi empat nombor pertama menunjukkan tahun entiti perniagaan tersebut diperbadankan, dua nombor berikutnya menunjukkan jenis entiti perniagaan dan enam nombor
berikutnya menunjukkan turutan nombor entiti perniagaan tersebut.

Jenis entiti perniagaan dikelaskan dengan nombor 01 untuk syarikat tempatan, 02 untuk syarikat asing, 03 untuk perniagaan, 04 untuk perkongsian liabiliti terhad tempatan, 05 untuk perkongsian liabiliti terhad asing dan 06 untuk perkongsian liabiliti terhad amalan profesional.

Untuk makluman, nombor pendaftaran sedia ada masih boleh digunakan bersama dengan format baharu nombor untuk satu tempoh masa yang akan dimaklumkan kemudian.

Pemilik perniagaan juga tidak perlu membuat perubahan pada surat rasmi, invois, papan tanda dan cetakan lain-lain
dokumen sehingga SSM memaklumkan tarikh penguatkuasaan penggunaan satu format nombor sahaja. – MalaysiaGazette