KUALA LUMPUR – Empat pimpinan India Pakatan Harapan disaran supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan mengaitkan Palestin dengan Pertubuhan Pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dalam satu kenyataan bersama, blok pembangkang berkata, tuduhan itu tidak boleh dijadikan asas untuk menyokong pertubuhan pengganas tersebut kerana ia sememangnya satu perkara yang berbeza.

“Jika pemimpin DAP mengatakan kerjasama UMNO-Pas akan membentuk kerajaan Taliban, nampaknya DAP yang menyokong LTTE suatu gerakan yang diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas amat jelas sesuatu yang terang-terang tidak diterima masyarakat dunia.

“Kami berharap pihak Peguam Negara membuat keputusan yang adil apabila kertas siasatan diserahkan kepada peguam negara untuk tindakan pendakwaan,” kata blok berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pembangkang kesal dengan kenyataan menyamakan perjuangan LTTE dengan perjuangan rakyat Palestin kerana perjuangan membebaskan bumi Palestin adalah untuk mendapatkan kembali negara mereka yang dirampas.

Ini kerana rakyat Palestin menerima pendatang Yahudi namun, kemudian bumi itu dirampas rejim zionis, kata kenyataan itu

Tambahnya, turut dikesalkan ialah tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dilihat mencampuri urusan polis apabila membuat kenyataan kononnya polis berjanji tidak ada lagi tangkapan terhadap pemimpin DAP.

“Kita berharap polis tidak tunduk kepada tekanan politik.

“Siasatan dan tangkapan mesti diteruskan termasuk terhadap mereka yang mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan,” ujar kenyataan itu. – MalaysiaGazette