Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berucap pada Bengkel Kebebasan Bersuara 'Ini Malaysia Baharu' di Auditorium Asia Europe Institute Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Malaysia tetap memerlukan satu lagi akta bagi menangani perkara-perkara melibatkan ancaman keganasan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk keharmonian rakyat.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu perlu kerana ia turut dilakukan oleh negara-negara lain dalam usaha memastikan negara mereka tidak terancam.

Justeru, akta seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) perlu ada bagi mengelak pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mengganggu gugat ketenteraman di negara ini.

“Saya dulu berpendapat akta seperti SOSMA walaupun ada beberapa kelemahan tetapi diperlukan dan banyak negara di dalam dunia ini wujudkan akta-akta ini demi mencegah keganasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Ekspresi dalam Malaysia Baharu, Sembang Realiti di Universiti Malaysia di sini hari ini.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan dua wakil rakyat DAP dan lima yang lain kerana didakwa ada ada kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dua wakil rakyat DAP iaitu exco negeri Melaka yang merupakan ADUN Gadek, G. Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran merupakan antara tujuh suspek ditahan semalam kerana disyaki terlibat aktiviti mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak dan mencari dana untuk kumpulan pengganas LTTE.

Kedua-duannya ditahan dalam operasi serentak di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kedah antara pukul 9 pagi hingga 2 petang.

Dalam pada itu Khairy enggan mengulas lanjut mengenai penahanan dua wakil rakyat berkenaan dan hanya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.

Katanya, adalah menjadi satu perkara yang tidak adil sekiranya beliau hendak mengulas banyak tentang perkara itu dan biarlah polis menentukan langkah seterusnya terhadap mereka. – MalaysiaGazette