Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memberi jaminan akan memantau setiap sen peruntukan yang diberikan kepada kementeriannya dan memastikan tidak berlaku sebarang ketirisan.

Katanya, Kementerian Pendidikan yang kekal sebagai penerima peruntukan paling banyak, katanya tanggungjawab yang besar adalah memastikan setiap golongan sasaran akan menerima manfaat daripada RM64.1 bilion.

“Keutamaan kami adalah setiap wang yang diperuntukkan mesti sampai kepada sasarannya.

“Keutamaan adalah proses integriti penyalurannya itu benar-benar dipantau kita tidak mahu lagi ketirisan, kecuaian berlaku seperti pentadbiran kerajaan lalu

“Walaupun besar amaun yang diberikan tetapi datang dengan perasaan yang begitu menyedarkan supaya kita mempunyai tanggungjawab yang lebih.

“Kalau jangkaan dari aspek pendidikan sudah tentu kita mahu lebih, dan kita tahu dalam memberikan perkhidmatan pendidikan memerlukan dana yang begitu besar,” katanya kepada pemberita.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan KPM menerima pertambahan peruntukan RM64.1 bilion berbanding RM60.2 bilion tahun lepas.

Kerajaan juga menambah peruntukan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah daripada RM652 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 kepada RM735 juta pada tahun depan.

RM5.9 bilion untuk Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), KPM selaku ketua Jawatankuasa Kabinet akan memastikan rancangan dan penyalarasannya terlaksana seterusnya dapat melahirkan tenaga pekerja yang berkemampuan dalam pasaran pekerjaan.

“Jawatankuasa ini dikepalai KPM kita mempunyai beberapa plan dan penyalarasan dengan pihak industri agar industri TVET kita benar-benar dapat melahirkan tenaga pekerja berkemahiran dan setiap sen yang kita salurkan kepada para pelatih akan membuahkan hasil,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette