Dua pekerja asing dilihat melakukan kerja-kerja pembersihan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pasaran buruh dijangka terus kekal stabil pada tahun ini dan tahun hadapan dengan kadar penganggur dijangka kekal 3.3% dengan lebih banyak peluang pekerjaan baharu dalam sektor ekonomi.

Jumlah penduduk yang bekerja dijangka meningkat kepada 15.1 juta pada tahun ini dan 15.3 juta pada tahun 2020.

Daripada jumlah pekerja yang bekerja pada tahun 2020, seramai 9.5 juta atau 62.1% dijangka bekerja dalam sektor perkhidmatan manakala 16.2% dalam sektor pembuatan dan 12.2% dalam sektor pertanian.

Tinjauan Ekonomi 2020 berkata, bilangan pekerja asing berdaftar meningkat kepada 2 juta pada akhir Ogos 2019 dengan pekerja asing dari Indonesia mewakili 35%, Bangladesh 28.7 dan Nepal 15.7%.

Sektor pembuatan menggaji sebahagian besar pekerja asing iaitu 35.4%, diikuti sektor pembinaan 21.5% dan sektor perkhidmatan 15.5%.

Sementara itu, bilangan ekspatriat meningkat 12.1% kepada 122,192 dengan majoriti daripada warga India 22.7%, China 20.2% dan Jepun 6.9%.

Mereka bekerja terutama dalam sektor perkhidmatan 52.9%, teknologi maklumat 31.6% dan pembuatan 5.9%.

Produktiviti buruh juga meningkat kepada RM91,793 atau 2.5% pada separuh pertama tahun ini. – MalaysiaGazette