Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Permintaan domestik dijangka memacu pertumbuhan dan berkembang 4% tahun ini dan 4.8% pada tahun depan meskipun berhadapan dengan cabaran luaran berikutan ketegangan perdagangan yang berlarutan dan pergolakan geopolitik.

Asas utama pertumbuhan termasuk pasaran buruh yang stabil dan harga yang rendah dijangka terus kukuh dan menyokong aktiviti domestik.

Perbelanjaan sektor swasta yang merangkumi sekitar 80% daripada permintaan domestik akan terus menerajui pertumbuhan iaitu 5.6% pada tahun ini dan 5.8% pada tahun depan.

Manakala perbelanjaan sektor awam dianggar menyusut 1.8% pada tahun 2019 disebabkan pelaburan syarikat awam yang lebih rendah .

Perbelanjaan sektor awam dijangka kembali pulih 0.8% pada tahun depan terutamanya didorong oleh langkah mempercepat pelaksanaan projek di penghujung Rancangan Malaysia Ke-11 serta lanjutan semula projek strategik.

Menurut Tinjauan Ekonomi 2020, penggunaan swasta dijangka berkembang sederhana sebanyak 6.8% pada tahun ini disebabkan kesan asas berikutan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) separuh kedua 2018.

Perbelanjaan isi rumah akan terus disokong oleh prospek pertumbuhan gaji dan guna tenaga yang menggalakkan dalam sektor perkhidmatan.

Pelaburan swasta diunjur berkembang pada kadar perlahan sebanyak 1.5% pada tahun ini mencerminkan permintaan luar dan kadar penggunaan kapasiti yang lebih rendah terutama dalam industri berorientasikan eksport.

Bagaimanapun, momentum dalam pelaburan swasta dijangka berkembang 2.1% pada tahun 2020.

Penggunaan awam dijangka kekal sederhana sebanyak 2% pada tahun ini dan 1.5% pada tahun depan, sejajar dengan langkah konsolidasi fiskal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast