Pemandangan dari atas kawasan Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 04 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM810 juta khususnya untuk kebajikan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), yang mana RM300 juta akan digunakan untuk menghapuskan faedah pinjaman peneroka.

Sejumlah RM250 juta untuk program bagi meningkatkan pendapatan 11,600 orang peneroka dan RM100 juta bagi bekalan air Felda.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sebanyak RM70 juta untuk perumahan generasi baru peneroka Felda dan RM90 juta untuk menaik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan perancangan itu.

Menurutnya, Belanjawan 2020 juga akan menyediakan RM738 juta untuk Risda dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) untuk melaksanakan pelbagai program penjanaan pendapatan yang akan memberi manfaat kepada lebih 300,000 pekebun kecil Risda dan 100 ribu peserta Felcra.

Di samping itu, kerajaan telah meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani daripada RM4.4 bilion untuk 2019 kepada RM4.9 billion untuk 2020, dengan memberi fokus khusus kepada meningkatkan pendapatan bagi pengusaha pertanian.

Katanya, Elaun Sara Hidup Nelayan akan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM152 juta pada tahun 2020. – MalaysiaGazette