Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Peruntukan RM53.4 juta untuk Sabah tidak besar, namun Ketua Menteri Datuk Seri Shafei Apdal bersyukur dengan jumlah peruntukan khas yang diumumkan hari ini.

Selain itu katanya, peruntukan RM5.2 bilion perbelanjaan pembangunan tahun depan sememangnya perlu untuk infrastruktur.

“Sabah merupakan negeri yang besar, ketiga populasi terbesar di Malaysia dan kedua terbesar dari segi saiz.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan Pusat kerana beri 17 peratus daripada jumlah bajet pembangunan yang ada, sekurang-kurangnya nya boleh membantu kita walaupun jumlah tak besar,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Shafei juga gembira pertemuannya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tentang Perjanjian Malaysia (MA63) memberikan hasil positif terhadap negeri di bawah bayu itu dan akhirnya selepas 40 tahun jumlah peruntukan khas kepada mereka ditambah.

“Kami hanya menerima RM26 juta selama 40 tahun dan selepas bincang dengan Tun M tentang Perjanjian MA63 perkara ini berubah,” tambahnya.

Guan Eng berkata buat pertama kalinya bermula tahun 2020, Kerajaan bercadang menggandakan kadar tersebut kepada RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak.

Katanya, Kerajaan juga akan menggandakan lagi kadar pemberian khas sehingga RM106.8 juta untuk Sabah dan RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun.-MalaysiaGazette