KUALA LUMPUR- Pemberian subsidi petrol bersasar sebanyak RM30 sebulan bagi kereta di bawah 1600cc dan RM12 sebulan untuk motosikal tidak mampu membantu golongan berpendapatan rendah menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurut Exco Majlis Belia Malaysia, Ahmad Shah Mohamad Salleh, kerajaan seharusnya memberi fokus untuk meluaskan pemberian subsidi pengangkutan awam sekali gus dapat menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Umum mengetahui sebanyak 70 peratus rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam.

“Subsidi ini bukan sahaja dapat dinikmati sepenuhnya oleh golongan pelajar, malah pengguna pengangkutan awam yang terdiri daripada rakyat dalam golongan berpendapatan rendah, B40 juga turut dapat menikmatinya.

“Ini sekaligus dapat meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas yang dilihat semakin kurang mendapat sambutan.

“MBM berharap pembentangan Belanjawan 2020 dapat mengambilkira pandangan ini demi kemakmuran bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Isnin lalu,  Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PSP itu dikhususkan kepada penerima Bantuan Sara Hidup yang memiliki kenderaan mengikut kriteria ditetapkan iaitu RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 bagi motosikal.

Program itu membabitkan jumlah tanggungan kerajaan sebanyak RM65.4 juta sebulan dan akan bermula pada 1 Januari 2020. – MalaysiaGazette

S