Arkib

KUALA LUMPUR- Pinjaman kepada isi rumah terus berkembang dengan kelulusan pinjaman meningkat 3.7 peratus kepada RM128.1 bilion dan pengeluaran pinjaman meningkat 1.4 peratus kepada RM199.8 bilion bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020, sejumlah 49.8 peratus atau hampir separuh pinjaman yang dikeluarkan kepada isi rumah dalam tempoh tersebut adalah untuk kredit penggunaan.

Ini diikuti pembelian hartanah kediaman (24.8 peratus) dan kereta penumpang (10.9 peratus).

Jumlah pinjaman terkumpul isi rumah pada akhir Julai 2019 meningkat 4.7 peratus kepada RM1.07 trilion merangkumi 58.3 peratus daripada jumlah pinjaman terkumpul dalam sistem perbankan.

Selain itu, jumlah hutang isi rumah juga meningkat sedikit kepada RM1.2 trilion atau 82.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2019.

Paras hutang isi rumah menyederhana sejak 2015 berikutan langkah kehematan makro dan program literasi kewangan diperkenalkan.

Sebahagian besar hutang isi rumah terdiri daripada pembelian harta tanah kediaman (54.2 peratus) diikuti kegunaan persendirian (14.1 peratus) dan kereta penumpang (12.9 peratus).

Jumlah aset kewangan isi rumah terus kukuh bernilai RM2.6 trilion dengan keupayaan isi rumah membayar hutang kekal teguh disikong pertumbuhan guna tenaga dan pendapatan stabil.

“Sehubungan itu, tahap hutang isi rumah dijangka kekal terkawal pada 2019 dan 2020,” kata laporan tersebut.

Dalam pada itu, keupayaan sistem perbankan untuk menyerap kerugian kekal teguh disokong oleh kedudukan modal yang kukuh.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020, secara keseluruhan persekitaran monetari dan kewangan negara dijangka kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Pasaran kewangan pula dijangka bertambah kukuh disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang rancak dan pelaksanaan semula projek strategik.

Bagaimanapun, faktor luaran seperti ketegangan perdagangan, volatiliti pasaran kewangan global dan pergolakan geopolitik boleh menjejaskan pasaran.

Justeru, pelbagai usaha dipergiat untuk memperkukuhkan pasaran kewangan ermasuk menggalakkan inovasi dan penggunaan saluran pembiayaan alternatif yang dipacu oleh kemajuan teknologi digital.-MalaysiaGazette