KUALA LUMPUR – Enam beradik ini baru kematian ibu seminggu yang lalu dan terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan terumbang ambing tanpa dahan tempat bergantung.
Bapa mereka, sejak bercerai beberapa tahun lalu tidak pernah datang menjenguk, apatah lagi bertanya khabar mereka adik beradik.
Tinggal di sebuah rumah usang di tanah rizab Sungai Manal, Tanah Merah, Kelantan, anak sulung keluarga ini, Roselina Che Abdullah, 16, lebih malang lagi terpaksa berhenti sekolah kerana perlu memikul tugasan dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Kalau tidak berlaku musibah, Roselina dapat meneruskan pembelajarannya di tingkatan empat sebuah sekolah di Tanah Merah, namun apakan daya, banyak kekangan hidup terpaksa dilalui dan dihadapinya.
Dia berhenti sekolah kira-kira 10 bulan lalu kerana banyak menghabiskan masa menolong ibunya yang ketika itu jatuh sakit dan uzur.
Akibatnya, tugas menghantar dan mengambil empat adiknya ke sekolah serta melakukan kerja rumah dan dapur dipertanggungjawabkan kepada termasuk menjaga adik bongsunya yang berusia empat tahun sepenuh masa.
Sambil itu dia sekeluarga turut dibantu neneknya yang tinggal berdekatan, tetapi juga sudah uzur.
Kisah malang keluarga ini kemudiannya mendapat perhatian pemimpin Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Kelantan dan Kawasan Tanah Merah yang tampil menghulurkan sumbangan serta bantuan.
Rombongan diketuai Ketua penaja Putra Tanah Merah, Che Abdul Aziz Che A. Hamid bersama Ketua Wiranita Kelantan, Rohana Ismail dan ahli jawatankuasa penaja Putra Tanah Merah menziarahi enam beradik malang itu di rumah mereka, semalam.
Putra Tanah Merah berjanji akan berusaha mendapatkan saluran yang berkaitan bagi meringankan beban enam beradik ini, termasuk memastikan Roselina dapat meneruskan persekolahannya.
Memandangkan tahun depan dia akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pihaknya menyeru semua pihak dapat membantunya mencapai impian dan cita-cita Roselina serta semua adik beradiknya.
Menurut Che Abdul Aziz, beliau dimaklumkan sebelum ini keluarga berkenaan menerusi ibunya ada menerima bantuan dari Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKM) berjumlah RM350 sebulan.
“Selepas ibunya meninggal dunia, PKM telah mendaftarkan nama Roselina sebagai penerima bantuan bulanan itu.
“Saya berharap akan lebih banyak lagi bantuan dihulurkan kepada keluarga enam beradik ini demi masa depan mereka meneruskan kehidupan yang semakin mencabar ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Roselina, 2006671000288957- MalaysiaGazette