Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi bercakap kepada media selepas pada Pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebagai usaha menyokong penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020).

Ketika membentangkan Belanjawan 2020 semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, VMY2020 bertujuan menjenamakan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan dengan sasaran 30 juta pelancong.

“Daripada jumlah itu, RM90 juta dikhaskan untuk meningkatkan kesedaran, promosi dan program sempena kempen VMY2020.

“Kerajaan juga akan meneruskan pemberian 50 peratus hasil cukai pelancongan kepada setiap kerajaan negeri untuk menyokong usaha mereka bersempena dengan VMY2020,” katanya di Dewan Rakyat

Sementara itu, Guan Eng berkata, sebahagian besar daripada levi pelepasan yang dikenakan kepada penumpang yang ke luar negara menggunakan pengangkutan udara mulai 1 September 2019 akan diperuntukkan kepada projek infrastruktur pelancongan.

Menurut Lim, untuk meningkatkan manfaat ekonomi VMY2020, kerajaan akan mencadangkan insentif cukai yang disasarkan ke atas sektor kesenian dan pelancongan seperti berikut:

“Pertama, pengecualian cukai pendapatan kepada penganjur aktiviti kesenian dan kebudayaan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang diluluskan dan penganjur persidangan.

“Kedua, pelaburan baru bagi taman tema antarabangsa diberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ditolak sehingga 70 peratus untuk 5 tahun.

“Ketiga meningkatkan potongan cukai yang diberi kepada syarikat yang menaja aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan di Malaysia daripada RM700,000 sehingga RM1 juta setahun,” katanya. – MalaysiaGazette