KUALA LUMPUR – Setelah satu pertemuan dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu, Amiruddin didakwa telah beralih arah memihak kepada Anwar.

Menerusi satu status di Facebook Abai (Anything But Anwar Ibrahim), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu kini didakwa mula menyerang kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Selepas bertemu mesra dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor (Amirudin Shari) mula jalankan tugas serang kerajaan dan Kabinet Dr. Mahathir Mohamad,” tulis Facebook itu.

Sebagai bukti, status itu turut memuatnaik laporan Malaysiakini bertajuk ‘Perkauman timbul kerana rakyat hilang percaya pada k’jaan’, semalam.

Dalam laporan itu, Amirudin berkata, isu perkauman yang semakin hangat contohnya di Malaysia adalah disebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan.

Jelasnya lagi, isu yang dimainkan hanyalah menjadi “satu pelantar” kepada hilangnya kepercayaan dalam kalangan rakyat.

Malah dakwa beliau lagi, perkara itu melahirkan suasana “gusar dan gundah gulana” dalam kalangan masyarakat.

“Saya percaya, soal kehilangan kepercayaan inilah yang melatari. Dan dari mana datangnya motivasi itu? Sudah pasti dalam pelbagai perkara dan bentuk yang kita tak jangkakan.

“(Dalam banyak hal) telah menimbulkan rasa ingin kesaksamaan, tetapi kesaksamaan itu tidak wujud, lalu dipersalahkan terhadap sistem, lalu yang menjadi mangsa pertama ialah institusi-institusi penting seperti kehakiman, kepolisian, dan keselamatan.

“Bila kehilangan kepercayaan itu wujud, maka hilanglah keyakinan, dan keyakinan yang hilanglah yang membentuk suasana hilang kedamaian, kacau bilau yang timbul hari ini,” katanya.

Amirudin pada Isnin lalu dilihat bertemu Anwar di pejabatnya.

Pertemuan itu dimuatnaik oleh Anwar di Instagram miliknya namun tidak mendedahkan tujuan pertemuan itu diadakan.

Amirudin sebelum ini didakwa berada dalam kem ‘kartel’ yang memihak kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Kedua-duanya sering kali dilihat bergambar bersama dalam pelbagai acara melibatkan kerajaan negeri Selangor. -MalaysiaGazette