Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Peningkatan peruntukan untuk Belanjawan 2020 sebanyak RM19.5 bilion kepada RM297 bilion berbanding RM277.5 bilion pada tahun lalu menimbulkan kecurigaan terhadap kemampuan kerajaan merealisasikan semua peruntukan berdasarkan sumber-sumber lain termasuk kenaikan cukai atau mewujudkan cukai baharu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hasrat kerajaan untuk menerbitkan bon samurai lagi pada tahun hadapan, dikhuatiri akan menjadi beban jika tidak diurus dengan baik pada masa hadapan, terutama jika ringgit lemah dan yen tinggi ketika tempoh matang bon.

“Dalam keadaan Menteri Kewangan, beberapa kali menyebut kerajaan berhadapan dengan beban hutang kerajaan lalu, rupanya beliau juga membuat hutang yang akan membebankan generasi akan datang pula,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020 menyatakan Kerajaan Persekutuan dijangka membuat pinjaman kasar, pada tahun ini, sebanyak RM135.2 bilion atau 8.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Daripada jumlah itu sebanyak RM83.3 bilion digunakan untuk membayar semula hutang sedia ada, manakala bakinya untuk pembiayaan defisit sebanyak RM51.8 bilion.

“Dengan kata lain kerajaan bayar hutang sebanyak RM83.3 bilion, tetapi dalam masa yang sama, berhutang semula RM135.2 bilion. Jadi bagaimana kerajaan PH boleh mengurangkan hutang negara.

“Ini mengingatkan saya kepada lagu lam , ‘gali lubang, tutup lubang’ oleh Salleh Yaakob yang menceritakan kisah orang yang berhutang, meminjam pula dengan orang lain, untuk membayar hutang sebelumnya,” ujarnya.

Tegasnya, apa yang berlaku sekarang ialah kerajaan membuat lubang yang lebih besar, bagi menutup lubang kecil dan jika ini tidak diuruskan dengan betul dikhuatiri pada masa hadapan, rakyat akan masuk lubang yang lebih besar yang digali kerajaan PH.

Meskipun begitu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengalu-alukan pemberian insentif dan bantuan, kepada rakyat B40 dan insentif menggalakan penggajian rakyat tempatan, yang dirancang dalam belanjawan tersebut.

“Cbaran terbesar dalam sesuatu penyediaan bajet bukanlah pembentangan, tetapi pelaksanaannya.

“Harapan kita ialah, bajet ini tidak mengulangi pencapaian bajet tahun lalu, yang jelas tersasar dari matlamat…,” katanya. – MalaysiaGazette