Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) menyifatkan langkah-langkah baharu berkaitan perumahan dan hartanah yang diumumkan menerusi Belanjawan 2020 hari ini sebagai satu usaha positif kerajaan untuk memacu pasaran berkaitan.

Antara langkah itu termasuk skim Dana Rumah Mampu Milik, Kempen Pemilikan Rumah, Skim Pembiayaan Sewa dan Skim Perumahan Belia.

Presiden FIABCI Malaysia Michael Geh berkata, langkah yang bertumpukan golongan berpendapatan rendah dan pembeli rumah pertama untuk memiliki kediaman sendiri, juga dapat mencergaskan pasaran berkaitan pada tahun depan.

“Pasaran perumahan sudah mencatat kemajuan pada tahun ini berikutan kempen Pemilikan Rumah dan kami menjangkakan lebih banyak unit dapat dijual pada tahun depan susulan pengumuman ini. Malah, ia akan dapat membantu mengatasi kemelut lebihan penawaran hartanah khususnya yang berharga di bawah RM500,000 seunit,” katanya kepada Bernama.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat berkata Skim Perumahan Belia akan menawarkan jaminan pinjaman 10 peratus melalui Cagamas bagi membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh serta bantuan ansuran bulanan RM200 bagi tempoh dua tahun pertama, terhad kepada 10,000 unit rumah.

Kerajaan juga, katanya, akan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dari 1 Jan, 2020 kepada 31 Dis, 2021 serta peruntukan RM10 bilion untuk Skim Pembiayaan Sewa oleh institusi kewangan menerusi bantuan kerajaan melalui jaminan 30 peratus.

Selain itu, kerajaan akan mengurangkan nilai ambang harga hartanah bertingkat tinggi di kawasan bandar bagi pemilikan asing kepada RM600,000 daripada RM1 juta dan turut menambah baik pelaksanaan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dengan menyemak tahun asas pembelian aset pada 1 Jan, 2013 untuk aset yang dibeli sebelum 1 Jan, 2013 berbanding tahun asas sebelum ini pada 1 Jan, 2000.

Mengulas pengurangan nilai ambang bagi bangunan kediaman bertingkat atau tinggi untuk pemilikan asing bagi pasaran utama dan sekunder, Geh berkata ini akan dapat merancakkan industri perumahan secara keseluruhannya.

“Tindakan menurunkan nilai ambang itu akan lebih berkesan jika turut dijadikan sebahagian daripada program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi mengelak spekulasi hartanah oleh pembeli asing,” katanya.

Malah, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menjadikan usaha pembelian hartanah itu dengan MM2H kerana ini dilihat sebagai cara lebih wajar untuk menggalakkan pembelian hartanah Malaysia.

“MM2H perlu diteruskan bersama pemeriksaan lebih ketat bagi memastikan kita hanya menerima kehadiran warga asing yang benar-benar ikhlas untuk menetap di Malaysia dan menyumbang kepada ekonomi kita,” katanya.

Bagi CKHT, Geh berkata kewujudan cukai tidak popular yang membabitkan semakan tahun asas bagi tujuan pembelian aset, juga tidak akan merangsang sentimen umum pasaran hartanah tempatan.

Beliau berkata, ini sebaliknya boleh menjejaskan sentimen pelaburan hartanah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast