Fizo Mawar Kitchen yang terletak di Bandar Baru Bangi.

KUALA LUMPUR – Pelakon Fizo Omar mengesahkan restoran Fizomawar Kitchen yang diusahakan bersama bekas isterinya, Mawar Karin akan menamatkan operasi hujung bulan ini.

Dia menjelaskan, keputusan itu dicapai sepakat bersama Mawar dan ia adalah jalan terbaik selepas mereka berpisah.

“Sebenarnya berat untuk saya nak umumkan keputusan ini, setelah berfikir dan berbincang bersama Mawar, kami bersetuju untuk tamatkan operasai Fizomawar Kitchen cawangan di Bangi, Selangor dan Kota Bharu, Kelantan.

“Banyak kenangan dan usaha dilakukan termasuk wang ringgit tetapi ini mungkin jalan terbaik dan saya percaya Allah ada perancangan terbaik untuk kami.

“Setelah empat tahun, lebih 300,000 pelanggan yang datang ke restoran kami dan FMK berkongsi rezeki dengan lebih 100 orang pekerja. Saya nak beritahu FMK akan menamatkan operasi pada 27 Oktober ini,” katanya menerusi YouTube miliknya.

Sementara itu, Fizo berkata dia akan memberi fokus pada pengurusan acara dan media sosial manakala Mawar akan meneruskan perniagaan tudung Fareeda yang diusahakannya selama ini.

Fizo dan Mawar berkahwin pada November 2013 namun rumah tangga mereka hanya mampu bertahan selama enam tahun sahaja selepas disahkan bercerai pada 10 Julai lalu.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam kini berusia dua tahun. – MalaysiaGazette