Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng bercakap pada sidang media Pasca Belanjawan 2020 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Penurunan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing tidak melibatkan projek perumahan baharu pada masa akan datang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan, langkah itu hanya melibat hartanah tersebut yang tidak terjual sebelum ini.

Menurut beliau, langkah itu juga tidak membabitkan unit kediaman bertanah.

“Penurunan nilai ini untuk memberi suntikan kembali kepada ekonomi dalam negara sekali gus membantu merancakan sektor hartanah.

“Daripada berlaku lambakan kerana masyarakat tidak membeli, lebih baik hartanah tidak terjual itu dibuka kepada orang asing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca Belanjawan 2020 di Parlimen di sini hari ini.

Semalam dalam Belanjawan 2020, kerajaan mengumumkan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing.

Guan Eng berkata, langkah itu dilaksanakan bagi mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual.

“Lambakan itu dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion pada suku kedua tahun 2019,” katanya sewaktu membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat di sini. – MalaysiaGazette