Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media selepas Majlis Sambutan Bulan Sukan Negara di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bekerjasama memberi peruntukan kepada Hafizh Syahrin Abdullah selepas Petronas menamatkan tajaannya kepada pelumba Moto2 negara itu.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, prestasi baik Hafizh dalam arena permotoran tidak boleh dinafikan dan seharusnya disokong.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai tokoh korporat akan tampil memberi tajaan kepada Hafizh dalam masa terdekat.

“Melalui Kementerian Belia dan Sukan dan SIC, kita adakan perbincangan dan kita akan cover (beri) peruntukan agak besar bagi penyertaan beliau. Kita sedang lihat apa lagi yang kita boleh lakukan

“Kita kena sokong dia, saya harap akan ada tokoh korporat selepas ini datang turut membantu, sebelum ini Petronas, tidak boleh hanya harap KBS dan SIC sahaja,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Bulan Sukan Negara di KL Sport City Bukit Jalil.

Katanya lagi, Hafizh mempunyai bakat yang boleh mengharumkan negara, justeru semua pihak perlu menghulurkan bantuan kepadanya dalam masa getir ini.

Kementeriannya juga menurut Syed Saddiq akan terus mencari peluang untuk membantu pelumba berusia 25 tahun itu.

“Hanya kerana ada masalah sikit terus lupakan dia. Dia senang kita ingat dia. Kita kena membina jambatan kukuh Petronas dengan Hafizh. Bagi masa ini kita akan terus cari penaja lain untuk membantunya,” tambahnya.

Beliau yakin Hafizh akan terus bertahan dan tidak mengalah meskipun berhadapan dengan masalah penajaan.

Hafizh Syahrin memulakan kariernya sebagai pelumba ‘wildcard’ pada 2011 sebelum menjadi pelumba sepenuh masa pada 2014 dalam kelas Moto2.

Beliau berjaya menamatkan perlumbaan sebagai 10 pelumba terbaik dengan beberapa kali menaiki podium pada 2016 dan 2017.

Pada Disember 2017, Petronas membuat keputusan luar jangka apabila tidak lagi menjadi penaja Hafizh.

Perkara itu disahkan oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC), namun Hafizh akan tetap kekal beraksi bersama pasukan baharunya iaitu SIC Racing Team.

Pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu muncul pelumba Malaysia pertama bersaing dalam perlumbaan MotoGP pada 2018, apabila menyertai pasukan Yamaha Tech3 Racing.-MalaysiaGazette