Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Perjuangan kumpulan pemisah Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dengan rakyat Palestin jauh jaraknya laksana langit dan bumi, Timur dan Barat, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kata beliau, disebabkan perbezaan ketara itu, wajib bagi Malaysia dan rakyatnya menyokong perjuangan Palestin serta haram pula bersimpati dengan kumpulan Tamil Eelam.

Kata Ahli Parlimen Marang itu, kalangan rakyat yang ada hubungan dengan kumpulan LTTE disifatkan sebagai memalukan, selain tidak menghormati dan tidak setia kepada negara ini.

“Kita kena berfikir dengan matang dan sejahtera terhadap kalangan yang menyamakan perjuangan Palestin dengan Tamil Eelam ini. Banyak sumber maklumat terkini mengenainya boleh dibaca dan dilihat dengan mudah.

“Kenalilah kedua-duanya terlebih dahulu supaya kita dapat menilai secara benar atau bohongnya. Jangan tertipu pada zaman yang digoda oleh banyak pembohongan yang dikawal pula oleh undang-undang rapuh dan nilai kemanusiaan dihilangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam tulisannya Minda Presiden Pas yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Tulisan itu juga merujuk kenyataan Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago yang menyamakan kumpulan LTTE dengan perjuangan rakyat Palestin.

Menurut Abdul Hadi, Tamil Eelam atau LTTE adalah nama yang diberikan kepada golongan kaum Tamil di Sri Lanka yang mahu mewujudkan negaranya sendiri di kawasan utara dan timur negara itu.

Kumpulan itu digolongkan sebagai pertubuhan pengganas yang diharamkan di 31 negara termasuk Amerika Syarikat, India, United Kingdom, Kesatuan Eropah, Kanada dan Australia.

Jelas beliau, pada awal 2009, tentera Sri Lanka melancarkan serangan ke atas Tamil Eelam menyebabkan kejatuhan angkatan darat LTTE, manakala saki-baki yang tinggal di utara Mullaithivu berhampiran lagun Nathikandal turut ditawan.

“Kebanyakan barisan kepimpinan awam dan tentera tertinggi LTTE, termasuk ketuanya, Velupillai Prabhakaran dilaporkan terkorban dalam pertempuran terakhir itu,” katanya.

Ini ujar Abdul Hadi, berbeza dengan perjuangan Palestin yang mahu menegakkan negaranya yang dirampas Israel.

Status politiknya juga masih dalam perdebatan, manakala sebahagian besar negara dunia termasuk anggota OIC, Liga Arab, NAM dan ASEAN telah mengakui kewujudan negara Palestin. – MalaysiaGazette