Saluran yang mempercayai menjadi sumber penyeludupan diesel di Perkampungan Air Bagan Hailam, Pelabuhan Klang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 DISEMBER 2024

PELABUHAN KLANG – Kegiatan menyeleweng diesel subsidi dari sebuah kapal tunda ke dalam tangki simpanan bernilai RM900,000 berjaya dipatahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, menerusi Op Tiris 3.0, serbuan di sebuah premis di Jeti Bagan Hailam dengan kerjasama KPDN negeri dan Ibu Polis Kotinjen (IPK) Selangor sekitar jam 3 pagi tadi, berjaya menahan enam suspek lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun.

Katanya, empat daripada suspek berkenaan adalah warga Indonesia.

“Bagaimanapun, dia gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen yang sah berhubung urus niaga minyak diesel itu dan semakan mendapati, kapal tunda itu sah berdaftar.

“Susulan itu, kita telah menahan kesemua suspek termasuk pemilik kapal bagi permohonan reman hari ini untuk melengkapkan siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan, di sini hari ini.

Tambah beliau, modus operandi kegiatan itu dipercayai dilakukan pada waktu tertentu mengikut keadaan air pasang surut dan permintaan pelanggan serta sumber bekalan.

“Daripada maklumat risikan, mereka mendapat bekalan daripada sumber tertentu di perairan kita selepas itu mereka mengepam minyak ini ke tangki di darat dan salur ke lori tangki untuk pengedaran atau menjual minyak tersebut.

“Susulan itu, sebuah kapal tunda, minyak diesel di dalam kapal dan tangki simpanan di jeti, hos penyambung dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan lain yang digunakan dalam aktiviti tersebut telah disita.

“Kuantiti diesel yang telah kita rampas di dalam tangki bot dan tangki simpanan melebihi 50,000 liter dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM900,000.00,” ujarnya

Tambah beliau, pihaknya telah melakukan risikan selama dua bulan dan mendapati jarak saluran paip antara kapal tunda dengan tangki simpanan adalah kira-kira 200 meter.

“Hasil pemeriksaan awal, premis terbabit merupakan sebuah jeti pelabuhan bagi kapal-kapal tunda berlabuh dan ketika serbuan berlaku aktivti seleweng minyak diesel dan ia dipam ke dalam tangki simpanan di kawasan darat.

“Pemeriksaan awal mendapati, pelan lantai dalam kapal itu menunjukkan mereka menggunakan sepenuhnya semua kompartmen dalam kapal tersebut isi minyak diesel,” jelasnya.

Berikutan itu, kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti individu dan syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti itu serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Azman berkata, statistik di bawah OPS TIRIS 3.0 sejak awal Januari lalu hingga 10 Disember lalu merekodkan 16,876 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara .

Katanya, daripda jumlah pemeriksaan itu, sebanyak 732 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM73.11 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast