Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Unit Komunikasi Korporat (CCU) Kementerian Kewangan kesal dengan kegagalan beberapa akhbar berbahasa Inggeris dan Cina melaporkan sepenuhnya kenyataan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR UC) di persidangan media di Parlimen samalam.

Dalam satu kenyataan hari ini CCU berkata Lim menyatakan kesediaan kerajaan untuk mengadakan semula peruntukan tahunan RM30 juta kepada TAR UC sekiranya parti MCA melepaskan pegangan politik mereka keatas institusi itu.

“Ini bermaksud masing-masing RM30 juta untuk tahun ini dan tahun hadapan, menurut menteri. Bagaimanapun beberapa media berbahasa Inggeris dan Cina tidak melaporkan penekanan Lim bahawa kerajaan tidak berniat untuk mengambil alih TAR UC, dan juga tidak menghendaki ahli politik PH atau DAP menggantikan MCA,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya Lim menyatakan dengan jelas bahawa MCA harus melepaskan pegangan mereka ke atas TAR UC kepada para profesional dalam kalangan bekas pelajar atau alumni TAR UC.

“Beliau (Lim) berkata TAR UC akan diurus dengan lebih baik oleh para profesional tanpa campur tangan politik atau kerajaan, dan akan dibenarkan utnuk menentukan dasar pendidikan mereka secara bebas berdasarkan standard pendidikan yang cemerlang,” menurutnya.

Kenyataan itu berkata Lim telah memberikan contoh Koperasi Jaya Diri Malaysia Bhd (Kojadi) yang juga tidak dilaporkan media berkenaan, yang merupakan sebuah koperasi yang dikawal oleh MCA yang menerima RM15 juta daripada Yayasan 1MDB pada tahun 2012.

“Walaupun bekas pengerusi Kojadi Datuk Ng Peng Hay mahu memulangkan RM15 juta yang diterima daripada 1MDB, keputusan itu ditolak MCA. Sehubungan itu akaun bank Kojadi telah dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Datuk Ng telah digantung tugas sebagai Pengerusi Kojadi.

“Kementerian Kewangan berharap agar organisasi media dapat melakukan tugas mereka secara profesional dan cekap tanpa mengira sebarang sebarang kaitan politik mereka.

“Walaupun ada organisasi media yang berpihak kepada politik, sama ada pro-MCA, atau pro-BN/PAS, kebebasan media menuntut mereka melaporkan fakta sepenuhnya dan secara jujur.

— BERNAMA