Orang ramai tidak melepaskan peluang menonton siaran langsung pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di kaca televisyen ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 OKTOBER 2019.

PASTINYA untuk beberapa minggu ini akan berbahaslah pemimpin dan rakyat akan bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 11.10.2019 lalu.

Jelas sekali pemimpin dan pendukung kerajaan mahupun pembangkang telah mula melontarkan hujah masing-masing.

Maka bermulalah satu lagi fasa di mana ada yang berhujah menyokong dan tidak kurang juga yang memperlecehkan.

Hakikatnya ada hujah yang boleh dianggap sekadar ilusi (andaian yang direka-reka) dan ada yang ada kebenarannya. Kedua-duanya pasti ada kesannya kepada masyarakat yang masing tertanya-tanya.

Inilah realiti hari ini di negara ini di mana setiap perkara kerap dilihat dari lensa politik kepartian. Perkara benar yang dibuat kerajaan ‘tidak boleh diterima’ oleh pembangkang dan perkara benar dinyatakan pembangkang juga ‘tidak boleh diterima oleh kerajaan’.

Itulah tahap keterbukaan pemimpin kita apatah lagi penyokong tegar masing-masing. Dengan kata lain, kematangan sebenar masih jauh dari jangkauan semua.

Berbalik kepada Bajet 2020, pada asasnya RM297.2 bilion untuk 2020 berbanding RM314.5 bilion pada 2019 adalah jumlah yang tidak memberansangkan, di mana turun sebanyak RM 7.3 bilion atau 5.5%.

Pastinya RM7.3 bilion itu satu jumlah yang cukup besar. Secara amnya ia jelas menggambarkan kewangan negara tidak berada pada tahap yang baik. Dengan kata lain, pasti ada golongan yang kurang diberi perhatian dalam bajet kali ini. Namun begitu, ada juga yang merekodkan peningkatan contohnya sektor pendidikan.

Walau bagaimanapun, bajet kemuncak Wawasan 2020 ini nampaknya tidak begitu berseri seperti mana pernah digambarkan akan hebatnya negara ini selepas melengkapkan misi 30 tahunnya untuk menjadi negara maju.

Harapan seluruh rakyat Malaysia untuk merayakan dan merasakan nikmat menjadi negara maju dengan pembentangan ‘bajet impian semua’ nampaknya tidak berlaku malah impian negara maju terpaksa ditangguhkan setidak-tidaknya hingga 2030 seperti disasarkan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030).

Samada WKB2030 akan menjadi kenyataan atau tidak, ia bergantung kepada kesanggupan seluruh rakyat Malaysia khususnya pemimpin di semua peringkat iaitu kementerian, negeri, jabatan-jabatan kerajaan dan mereka di sektor swasta membebaskan diri dari terus ‘bergelumang dengan najis’ iaitu sebagai pemberi dan penerima rasuah.

Kembali kepada isu bajet dan peruntukkan untuk satu-satu agenda itu, pastinya amat penting untuk dinilai dari sudut keberkesanan dan impak.

Semua yang terlibat perlu ada mentaliti berhemat tetapi tidak berkompromi dari aspek kualiti ketika membangunkan satu-satu projek. Usaha menghasilkan impak maksimum atas setiap peruntukan mahupun pinjaman perlu ada dalam diri setiap mereka yang terlibat.

Sebagai contoh Kementerian Pendidikan yang menerima peruntukan terbesar dalam bajet kali ini iaitu sebanyak RM64.1 bilion sewajarnya membuatkan semua barisan kepimpinan utamanya baik di sektor pengajian tinggi mahupun sekolah, menerima peruntukan ini dengan rasa insaf, dan sedar betapa beratnya tanggungjawab dan tingginya harapan yang diberikan kepada mereka. Perasaan sama diharapkan turut wujud di kementerian-kementerian lain.

Dengan kata lain, RM64.1 bilion bukan untuk disambut dengan sorakkan kegembiraan, apatah lagi untuk mengatur ‘kaki @ kroni’ bagi tujuan mencari ‘dana atau kekayaan’ luar biasa.

Ingatlah, bahawasanya wang itu adalah wang pembayar cukai yang perlu dipastikan tidak akan terbazir walau satu sen sekalipun.

Sudah tiba masanya mereka yang bertanggungjawab untuk mengurus peruntukan, geran mahupun pinjaman (agensi, pegawai kerajaan dan yang berkaitan) dan kontraktor/pembekal yang mengusahakannya menandatangani aku janji amanah dan integriti.

Jika mereka didapati bersalah iaitu berunsur penipuan, amat wajar mereka dikenakan hukuman keras. Amat memalukan bila stadium dibina, bumbungnya runtuh, makmal dibina, silingnya runtuh dan itu belum lagi kualiti kerja ‘workmanship’ yang ada antaranya amat mengecewakan.

Sesungguhnya sudah terlalu lama rakyat dan negara ‘dianiaya’ oleh mereka yang tamak haloba di mana mereka sanggup menipu kos sebenar projek-projek pembangunan/procurement (rujuk laporan audit negara).

Harga dikenakan adakalanya tidak tercapai oleh akal yang waras. Bayangkan jika tiada ketirisan, pasti Malaysia jauh lebih berjaya dan maju hari ini.

Sesungguhnya pemimpin yang tidak amanah adalah pengkhianat sebenar negara. Mereka dan kroni/proksi mereka ‘merompak’ negara siang dan malam tanpa rasa berdosa.

Malangnya rakyat bawahan juga yang dipandang hina. Itulah nasib apabila diri atau kaum itu miskin. Mereka akan sentiasa menjadi bahan sendaan dan cercaan orang kaya.

Namun, andai kata ada antara mereka memang miskin sebab malas, mereka tetap lebih mulia dari ‘kalian yang kaya dengan cara berdosa’ itu.

Negara ini tidak akan berjaya menjadi sebuah negara maju dan makmur selagi mereka yang berkuasa di pelbagai peringkat kekal diterajui ‘pemimpin berjiwa tercela’.

Ilusi, realiti mahupun palsunya harapan yang di bawa oleh bajet ini bergantung kepada mereka yang merancang dan melaksana projek-projek berkaitan.

Ia juga juga bergantung kepada mereka yang menguatkuasakan undang-undang dalam memastikan setiap sen yang diperuntukkan membawa sejuta kebaikan buat rakyat dan negara.

Namun, walau apapun keadaannya, rakyat Malaysia jangan pernah rasa putus asa. Buktikan kepada dunia bahawa kita adalah bangsa merdeka, bangsa bermaruah yang pastinya mampu merealisasikan apa juga yang kita dicita-citakan.

Selamat bekerja dengan penuh gigih rakyat Malaysia. Mudah-mudahan fajar Malaysia baru, maju dan makmur itu akan terbit juga akhirnya. – MalaysiaGazette