Bekas Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR – Nasib Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan diketahui esok sama ada bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, tiga tahun lepas.

Sekiranya keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap Tengku Adnan, maka beliau akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya Tengku Adnan akan dilepas dan dibebaskan.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan, 68, sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong, 60, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 23 Jan lepas, Tengku Adnan, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Dis 2018.

Seramai 23 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang mengambil masa 12 hari bermula 2 Julai lalu dan antara saksi tersebut ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Chai.

Semasa hujahan di akhir kes pendakwaan, peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan berkata bahawa tidak wujud kes prima facie dalam kes yang dihadapi anak guamnya.

Tan berhujah bahawa Chai dalam keterangannya sebelum ini berkata Tengku Adnan ada memberitahunya bahawa UMNO memerlukan dana politik lebih kurang RM5 hingga RM6 juta untuk Pilihan Raya Kecil (PRK).

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim pula berhujah bahawa berdasarkan keterangan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Saad Bordani menunjukkan tiada transaksi kemasukan wang RM2 juta ke dalam akaun UMNO dan tidak ditemui sebarang resit bayaran wang itu kepada parti politik berkenaan.

Julia berkata hujahan pihak pembelaan bahawa siasatan dilakukan Muhammad Saad tidak lengkap adalah tidak berasas memandangkan tidak terdapat sebarang dokumen menunjukkan wang yang dibayar kepada THSB merupakan sumbangan politik.

Katanya berdasarkan keterangan Penolong Pengurus Akaun dan Kewangan THSB, Rabiatul Adawiyah Sobri yang mengesahkan tiada pengeluaran wang RM2 juta daripada akaun THSB kepada UMNO, menunjukkan bahawa wang berkenaan bukan untuk PRK Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon, 71, yang kini masih dalam peringkat perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Tan juga didakwa di mahkamah dan kesnya bersama Tengku Adnan pada mulanya ditetapkan untuk dibicarakan bersama.

Bagaimanapun, Tan mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan salah oleh Tengku Adnan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta dan didenda RM1.5 juta oleh Hakim Mohd Nazlan.- BERNAMA