Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas (tengah) bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat MyPPP, Kampung Attap, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Selepas notis perintah pembatalan MyPPP oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) ditarik balik, presidennya, Tan Sri M. Kayveas akur menuruti dua syarat yang dikemukakan jabatan itu.

Salah satu daripadanya adalah menuntut MyPPP untuk melantik pihak ketiga bagi menyelesaikan kemelut yang melanda parti itu, kini.

Bagaimanapun, MyPPP masih belum mengadakan perbincangan untuk melantik pihak ketiga sebagaimana yang diarahkan RoS.

“RoS kata telah mempertimbangkan rayuan dan diluluskan tapi ada syarat untuk dipenuhi.

“Satu membawa satu pihak ketiga, untuk bincang antara dua pihak untuk selesaikan pertikaian ini. Kedua, buat satu pilihan semula sehingga 31 Disember depan. Ini sahaja syarat yang dalam kelulusan itu.

“Ini termasuk Ahli Jawatankuasa pada 2014 sehigga 2019. Pemilihan parti ketika itu saya adalah presiden jadinya jelas surat RoS bahawa semua yang memegang jawatan ketika itu adalah sah.

“Tidak ada pertikaian, sesiapa yang tidak tahu baca boleh faham cara dia sendiri. Kalau tak faham politik, sila undur diri,” katanya dalam sidang media hari ini.

Isnin lalu, RoS menarik balik pembatalan pendaftaran parti itu.

Beliau berkata, perkembangan itu memberi isyarat jelas keadilan, kejujuran dan kesetiaan sentiasa melangkaui kepentingan peribadi dan penyalahgunaan kuasa.

Notis perintah pembatalan MyPPP dikeluarkan oleh Ketua Pengarah RoS, Masyati Abang Ibrahim berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) Perintah Pembatalan (Seksyen 13(1)(c)(ix) dan keputusan membatalkan pendaftaran MyPPP dibuat berikutan rayuan dikemukakan parti itu tidak menunjukkan sebab yang cukup di sebaliknya.

Notis perintah itu diberikan kepada Kayveas, Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz, Jabatan Insolvensi Malaysia, Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam perkembangan berkaitan, Kayveas menggesa Maglin Dennis kembali untuk bersama parti dan mengakui segala kesilapannya dan bersama-sama membina semula parti.

“Ini peluang kedua untuk mereka yang jahat. Kalau tidak ambil kesempatan ini, mereka tidak ada tempat dalam parti. Kita ada muka baharu, ahli baharu dan pemuda yang baharu.

“Tidak perlu 26 orang ini, kami ada 1,000 perwakilan yang akan pilih presiden,” katanya lagi.

Sebelum PRU-14 lalu, parti itu berdepan krisis kepimpinan apabila Maglin turut mengaku sebagai presiden parti.

Selepas PRU-14, Kayveas mengumumkan MyPPP keluar BN dan Sabtu lalu beliau menyatakan sokongan kepada PH sementara Maglin menyatakan parti itu masih mesra BN. -MalaysiaGazette