Mohd Khalid Yunus

KUALA LUMPUR – Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) meminta syarikat Pelikuidasi Interim yang dilantik lembaga pengarah Utusan membenarkan peguam yang mewakili Kesatuan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) cawangan Utusan Melayu untuk memantau penjualan aset bagi tujuan membayar hutang.

Veteran Utusan, Tan Sri Khalid Yunos berkata, langkah itu adalah bagi mengelakkan berlakunya sebarang penyelewengan ketika proses itu berjalan.

“Kami meminta syarikat Pelikuidasi Interim yang dilantik, UHY Advisory (KL) Sdn Bhd bertindak telus dengan membenarkan peguam bagi pihak petugas yang diwakili oleh Kesatuan Wartawan Senanjung Malaysia (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Perkerja Akhbar (KKPA) cawangan Utusan Melayu memantau penjualan aset untuk tujuan membayar hutang.

“Ini bagi mengelakkan sebarang penyelewengan berlaku,” katanya dalam nada sebak ketika membacakan kenyataan pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Khalid, KVUM turut meminta agar syaraikat baharu yang mengambiol alih lesen penerbitan akhbar milik Utusan Melayu mengutamakan mantan wartawan Utusan sekiranya mahu memulakan penerbitan baharu.

Dalam pada itu beliau berkata, KVUM menggesa Kementerian Sumber Manusia meneliti sama ada tindakan syarikat yang memberhentikan pekerja-pekerja Utusan mengikut lunas-lunas peruntukan Akta Pekerjaan atau sebarang akta berkaitan sedia ada.

Katanya, KVUM khuatir ia akan menjadi pendahulu bagi syarikat lain mencari jalan mudah untuk menyelesaikan masalah mereka.

Tambah beliau, tindakan pemberhentian operasi perniagaan syarikat ini akan menyelamatkan puluhan juta ringgit bagi pemilik baharu yang tidak perlu melalui proses VSS atau MSS.

Katanya lagi, KVUM menggesa agar syarikat mengambil alih kebajikan petugas yang diberhentikan dengan mereka perlu membayar gaji tertunggak selama ini serta gaji sehingga akhir bekerja pada 31 Oktober ini.

Pampasan lain yang difikirkan perlu juga wajar dipertimbangkan termasuk melunaskan semua bayaran tertunggak bagi mereka yang mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).

“Kami juga meminta agar dipertimbangkan sebarang faedah perkhidmatan yang munasabah seperti tuntutan perjalanan dan perubatan termasuk bayaran ganjaran gratuiti yang tidak dibayar sejak setahun lalu,” ujarnya. – MalaysiaGazette