Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi ruang yang bebas untuk menyiasat dan mengambil segala tindakan undang-undang terhadap individu-individu yang terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, langkah membanteras kegiatan itu perlu dilakukan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian negara tanpa ada campur tangan dan gangguan mana-mana pihak.

“Memandangkan kes ini merupakan suatu perkara berkepentingan awam (public interest), Pas juga mendesak supaya kerajaan mengemukakan dan membentangkan suatu Kertas Putih di Parlimen.

“Kertas putih itu adalah mengenai penyebaran ideologi, rangkaian organisasi dan kegiatan pihak-pihak yang disyaki terlibat dengan gerakan pelampau LTTE di Malaysia, yang turut dikaitkan dengan beberapa pemimpin politik tempatan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Tegas beliau, Pas memandang serius terhadap perkara itu dan mahu tindakan diambil tanpa ia boleh dibiarkan. – MalaysiaGazette