Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. foto FAREEZ FADZIL, 14 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongan terhadap cadangan Pas agar kerajaan membentangkan Kertas Putih mengenai Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, cadangan itu perlu bagi memperjelaskan pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenai LTTE.

“Ianya akan menjadi satu langkah yang akan disokong oleh ahli ahli parlimen BN jika pihak kerajaan menerima kerana kita mahu memperjelaskan kepada rakyat terutamanya mereka yang bersimpati terhadap kewujudan LTTE ini.

“Walaupun ada kenyataan-kenyataan daripada beberapa Ahli Parlimen untuk menimbulkan rasa simpati itu bukannya tanda sokongan tetapi kita harus lihat dari aspek keselamatan apa pun bentuk simpati terutamanya dalam bentuk penyaluran dana dianggap sebagai memberi sokongan kepada ataupun kumpulan pengganas ini,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, perbincangan BN dan Pas mengenai kertas putih itu belum dibincangkan di mana-mana peringkat.

Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang menggesa kerajaan membentangkan Kertas Putih mengenai LTTE di Malaysia.

Ia susulan penangkapan beberapa individu termasuk pemimpin DAP yang disyaki terlibat dengan kumpulan itu.

Malah kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng minggu lalu turut menimbulkan persoalan apabila berkata, polis telah memaklumkan tiada lagi pemimpin DAP yang akan ditahan atas dakwaan terlibat dengan LTTE.

Untuk rekod, 12 orang termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP telah ditahan atas dakwaan dikaitkan dengan usaha menghidupkan semula kumpulan pengganas LTTE di Malaysia.

Mereka adalah G Saminathan dan P Gunasekaren. -MalaysiaGazette