Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berharap pihak berkuasa seharusnya fokus kepada siasatan terhadap penahanan beberapa individu termasuk pemimpin DAP ekoran dakwaan terlibat kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelan (LTTE).

“Saya tidak pernah sebut nak halang siasatan polis. Mana-mana pihak jangan putar belitkan kenyataan saya.

“Saya harap bahawa Datuk Ayob baca kenyataan saya dan jangan putar-belit kenyataan seorang pemimpin negara.

“Kita harap polis boleh tumpukan masa untuk buat siasatan daripada buat komen khususnya dalam kenyataan yang saya tidak buat,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Menteri Kewangan itu ditanya mengenai kenyataan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa pihaknya tidak pasti dari mana maklumat yang diperoleh Guan Eng yang mendakwa tiada lagi pemimpin DAP yang akan ditahan atas dakwaan penglibatan mereka dengan LTTE.

Ayob Khan semalam berkata, beliau tidak pernah keluarkan sebarang kenyataan yang mengatakan pihaknya akan hentikan siasatan.

Guan Eng hari ini berkata, beliau mendapat taklimat daripada seorang individu dalam sesi taklimat bersama menteri bahawa tiada lagi tangkapan kepada wakil rakyat mengenai kes LTTE.

“Saya harap pegawai seperti Datuk Ayob boleh tumpuan masa kepada siasatan kerana itu kerja dia dan jangan buat komen atas kenyataan menteri yang tidak berkaitan kerana itu bukan yang saya nyatakan.

“Saya tidak akan beritahu siapa yang berikan taklimat tersebut tapi saya rasa maklumat ini diberikan untuk maklumkan kepada menteri,” jelas Guan Eng lagi.

Minggu lalu, media melaporkan bahawa Guan Eng berkata, pihak polis memaklumkan tiada lagi pemimpin DAP yang akan ditahan atas dakwaan penglibatan mereka dengan LTTE.

“Saya juga dimaklumkan bahawa walaupun akan ada lebih ramai ditangkap kerana disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE, tiada lagi pemimpin atau wakil rakyat dari DAP akan disasarkan,” kata beliau dalam satu kenyataan. -MalaysiaGazette

‘Saya tak pernah cakap perlu henti tangkap ahli DAP’ – Ayub