Sebahagian Jururawat serta ibu bapa bergambar bersama bayi-bayi tahun baharu 2019 yang dilahirkan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur (HKL). foto SYAFIQ AMBAK, 01 JANUARI 2019

PADA pembentangan Belanjawan 2020 pada Jumaat yang lalu, kerajaan telah mengumumkan pelanjutan cuti bersalin kepada kaum ibu dari 60 hari ke 90 hari menjelang tahun 2021.

Namun, terdapat beberapa pihak yang kurang setuju dan ada juga yang menyifatkannya sebagai satu langkah baik, terutamanya bagi kaum ibu.

Menurut statistik, pada tahun 2019, kadar kelahiran penduduk Malaysia menurun 1.7 peratus berbanding 2018 iaitu berdasarkan perbandingan data kelahiran suku tahun kedua.

Manakala kadar kesuburan juga telah menurun yang turut meningkatkan kemungkinan negara menghadapi kemerosotan jumlah penduduk pada masa akan datang.

Kadar kelahiran yang menurun menyebabkan negara berisiko menghadapi masalah ketakseimbangan penduduk yang boleh mengakibatkan masalah bebanan kebergantungan
dalam kalangan warga emas. Ini secara langsung memberi tekanan kepada faktor ekonomi dan sosial.

Contohnya, kadar kelahiran yang rendah hari ini akan menyebabkan jumlah penduduk yang bekerja adalah rendah dalam masa 20 tahun akan datang. Dalam masa yang sama juga,
penduduk dewasa hari ini akan menjadi warga emas yang mana jumlahnya adalah lebih tinggi.

Ini menyebabkan terdapatnya lebihan warga emas, yang mungkin kebanyakannya tidak menyumbang kepada kemakmuran ekonomi, akan memberi bebanan kepada generasi muda yang masih bekerja untuk menampung kos hidup mereka, terutamanya disebabkan sumbangan cukai yang semakin berkurangan.

Lantas, pihak kerajaan juga akan mengalami masalah pembiayaan disebabkan oleh pengurangan hasil cukai, malah turut perlu menyediakan lebih kemudahan dan infrastruktur
untuk warga emas yang melibatkan kos yang tinggi.

Jadi, pemberian tambahan tempoh cuti bersalin dilihat berpotensi memberikan impak positif dalam usaha menstabilkan kadar pertumbuhan penduduk di Malaysia.

Ini memberi galakan kepada kaum wanita untuk melahirkan anak dan turut memberi ruang kepada mereka untuk merawat anak mereka dengan lebih sempurna.Maka, ini akan memberi impak positif kepada pertumbuhan dan perkembangan bayi jika
diberikan rawatan yang secukupnya, terutamanya dengan pemberian susu ibu.

Dari sudut yang lain pula, pemberian cuti bersalin 90 hari ini akan memberikan impak kepada produktiviti sesebuah syarikat, terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai jumlah kakitangan yang sedikit.

Tidak dinafikan, penambahan tempoh cuti bersalin ini boleh melambatkan urusan operasi syarikat yang akhirnya diterjemahkan kepada pendapatan firma yang mungkin merosot.

Maka kesimpulannya, pertimbangan kesan jangka panjang dan jangka pendek adalah penting dalam memastikan masalah pertumbuhan penduduk dapat ditangani dengan lebih
efektif. Walaubagaimanapun, penduduk yang berkualiti dari segi kesihatan, pemikiran dan tingkah laku adalah lebih diperlukan untuk membangunkan ekonomi negara.

Penulis adalah Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman, Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan
Universiti Putra Malaysia
[email protected]

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast