Ketua Pegawai Eksekutif Quadrant Six Sdn. Bhd., Mohd Suhaimi Saiful menunjukkan produknya iaitu Bliese ketika temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette di pejabatnya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 OKTOBER 2019

SHAH ALAM – Quadrant Six Sdn. Bhd. telah mencatat keuntungan luar biasa ke atas penjualan produk pewangi pelbagai guna jenama Bliese walaupun tidak sampai sebulan di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Suhaimi Saiful berkata, jualan sebanyak 130,000 Bliese dalam tempoh itu merupakan satu isyarat gelombang besar yang mula melanda negara ini.

Jelas beliau, angka itu sepatutnya menjadi sasaran syarikat pada penghujung tahun ini namun lebih awal dicapai.

“Sambutan menggalakan ke atas Bliese memang satu kejutan dan luar biasa untuk syarikat yang tidak sampai sebulan beroperasi.

“Justeru kami yakin jualan Bliese mampu melonjak sebanyak 700,000 unit pada tahun depan memandangkan penggunaan yang bukan sahaja sebagai penyegar udara di dalam kereta malah di dalam bilik, pejabat dan tandas.

“Apatah lagi harganya yang mampu milik sebanyak RM10, orang ramai pasti menjadikan Bliese sebagai jenama yang berbaloi untuk dibeli kerana ketahanan haruman yang lama sehingga 45 hari,” katanya.

Temubual eksklusif Malaysia Gazette bersama Ketua Pegawai Eksekutif Quadrant Six Sdn. Bhd., Mohd Suhaimi Saiful di pejabatnya di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 OKTOBER 2019

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di ibu pejabat di Shah Alam di sini hari ini.

Mohd. Suhaimi sebelum ini memiliki pengalaman selama tiga tahun di dalam industri yang sama sebelum tampil dengan jenama sendiri dalam usaha merebut potensi besar di pasaran tempatan.

Bliese kini mempunyai 15 jenis haruman menyegarkan, antaranya London Lavender, Sydney Strawberry, Honey Havana, Sakura Osaka dan Perth Pandan. Setiap unit mengan­dung 9 mililiter (ml) kandungan pewangi yang boleh dipasang dengan mudah di mana-mana.

Mengulas lanjut, Mohd. Suhaimi memberitahu, pihaknya yakin jenama Bliese mampu setanding kualiti produk pewangi jenama import apatah lagi pengguna kini mudah untuk mendapatkan Bliese di seluruh negara.

Ketika ini katanya, syarikat memiliki 224 stokis selain seramai 25 pengedar utama yang dikenali sebagai duta dalam usaha membentuk rangkaian pemasaran yang lebih luas.

“Kita menggunakan sistem edaran melalui pengedar utama dan pihak pengedar utama yang akan mengedarkan kepada stokis.

“Ibu pejabat pula akan berurusan duta sahaja kerana ingin memberi fokus utama kepada pemasaran produk,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Quadrant Six Sdn. Bhd., Mohd Suhaimi Saiful (kiri) bersama pekerjanya Ketika temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 OKTOBER 2019

Mohd. Suhaimi turut memberitahu Bliese kini mula menerima permintaan secara terus ke kedai serbaneka dan pasar raya.

Namun buat masa ini, tegas beliau, syarikat akan memberi keutamaan kepada duta dan stokis dalam usaha mengukuhkan rangkaian selain memberi peluang kepada mereka mendapat pendapatan tambahan,” katanya.

Mengenai perancangan syarikat, beliau berkata, dengan persekitaran perniagaan yang berkembang baik di Malaysia, pihaknya akan memperkenalkan rangkaian dua produk pewangi baharu tidak lama lagi.

Produk kedua syarikat katanya akan dilancarkan pada awal tahun depan manakala produk ketiga menyusul empat bulan kemudian. – MalaysiaGazette