Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng hari ini mendesak Ahli Parlimen Barisan Nasional Batang Sadong, Nancy Shukri supaya menarik balik kenyataannya yang mendakwa menteri kewangan itu menyifatkan rakyat Sarawak sebagai pengemis yang tamak.

“Semalam saya dimaklumkan YB Batang Sadong berkata yang saya telah mengecam orang Sarawak sebagai greedy beggars dan beliau telah menyatakan saya telah membuat kenyataan sedemikian,” kata Guan Eng yang bangun atas Peraturan Mesyuarat 36 (6) selepas tamat sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan, beliau tidak membuat kenyataan tersebut terhadap rakyat Sarawak justeru meminta Nancy menarik balik tuduhan yang dibuat ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 semalam.

“Saya berharap kerana beliau tidak nampak ada di sini, beliau boleh tarik balik tuduhan yang dilemparkan dalam dewan yang mulia ini.

“Saya tidak sebut, saya harap dapat rujuk kepada hansard untuk perbetulkan kenyataan tersebut kerana ia adalah fitnah sama sekali,” katanya

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, beliau tidak mendengar perkataan itu disebut kerana perbahasan dikendalikan oleh timbalannya.

Ketika itu Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bangun dan mencadangkan supaya Guan Eng menunggu Nancy berada di dalam dewan kerana usul yang dibangkitkan Setiausaha Agun DAP itu berlaku terhadap perbahasan semalam dan bukannya di hadapan Mohamad Ariff.

Cadangan tersebut dipersetujui Mohamad Ariff yang berkata: “Itu yang terbaik, mungkin lebih terbaik kita tunggu hansard sebab saya pun tak dengar sendiri.”

Perbahasan Nancy semalam kecoh apabila Ahli Parlimen Batu Kawan daripada DAP, Kasthuri Patto mencelah dengan meminta Nancy mendedahkan nama akhbar yang membuat laporan tersebut jika sebaliknya ia perlu ditarik balik kerana menghina dewan.

“Mana sumber mengenai menteri kewangan kata rakyat Sarawak mengemis,” katanya.

Nancy kemudian memaklumkan ia dilaporkan akhbar di Sarawak dan meminta Kasthuri mencarinya sendiri.

“Apakah maksud ‘begging and beggar’ kalau diterjemah kepada bahasa Malaysia,saya tidak mahu layan (Kasthuri), saya orang Sarawak saya lebih tahu rohnya ada di sini,” kata Nancy lagi.

Situasi itu ditenangkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Nancy bidas Guan Eng gelar rakyat Sarawak pengemis