KUALA LUMPUR – Seramai 9,829 calon Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2019.

Lembaga Peperiksaan berkata, peperiksaan STAM akan bermula pada 21 Oktober ini.

“STAM akan dijalankan selama lima hari bermula dari tarikh 21, 22, 23, 30 dan 31 Oktober ini melibatkan 234 pusat peperiksaan yang akan dibuka kali ini,” kata agensi bawah Kementerian Pendidikan hari ini.

Kali ini seramai 1,023 petugas peperiksaan telah dilantik dilantik mengawasi peperiksaan supaya berjalan lancar.

Mengikut pecahan sebanyak 2,854 orang atau 29.1 peratus calon adalah dari Sekolah Kerajaan,Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Manakala 4,540 calon atau 46.2 peratus pula mewakili Sekolah Menengah Agama Negeri dan seramai 709 orang atau 7.2 peratus calon adalah daripada Sekolah Menengah Agama Rakyat.

Lembaga Peperiksaan juga mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan dan amaran yang peerlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan STAM boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my

Calon diingatkan supaya membawa Dokumen Pengenalan Diri (MyKad atau Borang Pengenalan Diri Calon atau Surat Perakuan Pengenalan Diri) ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.- MalaysiaGazette