Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Sambutan Hari Pendaftaran Negara di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 OKTOBER 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri tidak menganggap serangan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) terhadap Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Ibrahim Ansar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai suatu perkara terpencil.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya menegaskan, insiden yang berlaku tiga tahun lepas itu oleh sekumpulan penyokong LTTE itu diambil kira dan terus dipantau oleh pihak polis hingga membawa penangkapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kita bukan ambil satu indisen yang dikatakan satu terpencil, kita meneliti sepanjang masa, ada sumber-sumber intelligent dan siasatan terus dilakukan oleh Cawangan Khas kita.

“Sudah cukup banyak bukti dan ini disahkan oleh timbalan pendakwaraya yang mengatakan ada asas kukuh untuk tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang dikatakan bersabit dengan kes LTTE.

“Tak boleh kata terpencil, waktu zaman dia terpencil (Nur Jalan), waktu zaman kita hampir dua tahun, jadi polis sudah memantau dalam satu tempoh jangka masa yang agak panjang dan bukti-bukti sudah ada,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas penularan semula video serangan sekumpulan penyokong kumpulan pengganas itu terhadap Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di KLIA, dalam satu insiden tiga tahun lepas di media sosial.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed pada 7 September 2016 menyifatkan serangan terhadap Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Ibrahim Ansar sebagai isu terpencil.

Nur Jazlan berkata, serangan itu tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Sebaliknya kata Nur Jazlan, serangan itu lebih berkisar kepada soal politik di Sri Lanka semata-mata.

Ketika itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abdu Bakar mengesahkan serangan terbabit.

Kementerian Luar Sri Lanka, dalam kenyataan di laman sesawangnya ketika itu berkata pesuruhjaya tinggi itu diserang oleh sekumpulan orang.

Muhyiddin juga menegaskan beliau menyerahkan perkara terbabit kepada pihak polis dan pihak pendakwaraya untuk menentukan sejauh mana pembabitan dua wakil rakyat DAP dengan LTTE.

“Sebab itu kita tak boleh ambil kes itu saja, begitu juga kes terbukti bahawa ada elemen-elemen keganasan begitu, mereka yang terbabit sudah pun dihukum.

“Apa pun kita akan serah kepada pihak pendakwaraya dan polis, mahkamah kalau dia akan didakwa dan kita akan tahu apa keputusannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast