Majlis Belia Malaysia

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) mendesak pentadbiran Universiti Malaya (UM) mengambil tindakan sewajarnya kepada kebiadapannya graduannya, Wong Yan Ke pada majlis istiadat konvokesyennya baru baru ini.

Ketua Penerangan MBM, Wan Mohd. Husni Abdullah mahu supaya skrol ijazah sarjana muda pelajar berkenaan ditahan sehingga Yan Ke memohon maaf kepada Naib Canselor UM, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim.

“MBM mengutuk tindakan biadap Yan Ke pada majlis istiadat konvokesyen universiti berkenaan apabila mengangkat plakad bertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ di hadapan tetamu dan pentadbir tertinggi UM yang mengejutkan banyak pihak.

“Ia satu tindakan yang mencemarkan istiadat dan protokol yang seharusnya dihormati oleh semua pihak dan menunjukkan kerendahan moral dan nilainya sebagai seorang terpelajar dan menjejaskan nama universiti pada masyarajat umum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Wan Mohd. Husni, penggunaan istilah ‘kebebasan bersuara’ tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan tanpa batasan dan perlu mengikut saluran yang betul.

“Semua warganegara perlulah mendokong dan mengamalkan prinsip Rukun Negara “Kesopanan dan Kesusilaan” bagi menjamin keharmonian negara.

“MBM juga menggesa pihak pentadbiran universiti di negara ini supaya mengeluarkan garis panduan dan tindakan tata tertib yang lebih tegas kepada semua pelajar agar perkara seumpama ini tidak berulang dan menjadi teladan,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette