Peminat cilik mengambil peluang berswafoto bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika majlis perasmian Persidangan Hari Membasmi Kemiskinan Antarabangsa di Mercu UEM, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR- Graduan Universiti Malaya, Wong Yan Ke sepatutnya menghormati majlis konvokesyen yang dihadirinya dan boleh menyuarakan sebarang pandangan beliau di tempat lain.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, majlis seperti konvokesyen mempunyai protokol, prosedur dan peraturan yang perlu dipatuhi serta dihormati oleh setiap orang.

Jika tidak, ia akan bertukar menjadi kekecohan.

“Apa yang akan berlaku jika majlis tersebut dipenuhi oleh individu-individu sebegini yang menunjukkan protes mereka?

“Mereka boleh berdemonstrasi tetapi di tempat lain dan bukannya mengganggu kelancaran majlis semata-mata mahu menunjukkan pandangan-pandangan tertentu,” tegasnya semasa sidang media selepas merasmikan Forum Hari Antarabangsa Pembasmian Kemiskinan 2019 di sini hari ini.

Beberapa hari lalu, Wong Yan Ke, graduan Kejuruteraan Awam UM menunjukkan plakad mendesak Naib Canselor Universiti Malaya, Dr Abdul Rahim Hashim meletakkan jawatan dan turut menjerit “ini tanah Malaysia”, selepas menerima ijazahnya di atas pentas.

Sehubungan itu,satu laporan polis telah dibuat oleh Pegawai Keselamatan UM di Balai Polis Pantai kira-kira jam 12.32 tengah malam kelmarin.

Ketika ditanya kepada Perdana Menteri mengenai laporan polis tersebut, Dr. Mahathir berkata, setiap universiti mempunyai peraturan tersendiri.

Kerajaan katanya tidak mahu masuk campur terlalu banyak dalam urusan pentadbiran universiti.

“Saya rasa, kita tidak mahu terlalu masuk campur dalam urusan universiti.

“Mereka boleh buat keputusan sendiri,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.