Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya (dua kanan) bercakap pada sidang media khas berkaitan pembolosan sempadan negara akibat aktiviti rasuah di Ibu Pejabat SPRM, Putarajaya. foto HAZROL ZAINAL, 18 OKTOBER 2019.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan notis pengkompaun kepada semua entiti dan individu yang terlibat dengan wang 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya, Latheefa Koya berkata, 10 peratus daripada mereka bersetuju untuk membayar kompaun berkenaan secara ansuran.

Katanya, 40 peratus lagi sudah menerima notis berkenaan tetapi akan mengambil tindakan mahkamah dan 45 peratus lagi menghantar surat rayuan.

Beliau berkata, tiga individu didapati tidak mahu menerima notis berkenaan.

“Kita sudah hantar notis pengkompaunan kepada semua entiti dan individu terbabit. Terpulang kepada mereka untuk membuat keputusannya.

“Kita hanya menjalankan tugas mengikut undang-undang dan bersedia berdepan dengan apa saja tindakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkaitan pembolosan sempadan negara akibat aktiviti rasuah di ibu pejabat SPRM hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika ditanya status siasatan aset 1MDB di luar negara berkata, siasatan masih diteruskan.

Kata beliau, pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat termasuk mengesan dan mbuat penjumlahan aset berkenaan.

“Setakat ini kita tidak dapat menganggarkan berapa jumlag aset itu kerana pasukan kita sedang mengesan.

“Ia melibatkan beberapa buah negara, yang mana pasukan kita akan menghubungi pegawai di sana untuk membantu.

“Kita jangka banyak lagi aset 1MDB di sana (luar negara),” katanya. – MalaysiaGazette