KUALA LUMPUR- Cagamas Bhd hari ini mengumumkan terbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) pelbagai tempoh RM500 juta, RM100 juta Nota Jangka Sederhana Konvensional (CMTN) pelbagai tempoh dan RM200 juta Kertas Komersial Konvensional (CCP) tiga bulan.

Terbitan itu merupakan terbitan ke-19 dan 20 bagi tahun itu yang mana hasilnya akan digunakan untuk membiayai pembelian gadai janji dan pembiayaan perumahan Islam daripada sistem kewangan.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Chung Chee Leong berkata, harga IMTN dan CMTN itu dimuktamadkan sehari sebelum pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lepas.

“IMTN dan CMTN berjaya membuat penetapan harga dalam keadaan pasaran yang lemah berikutan pelabur memilih pendekatan tunggu dan lihat menjelang pembentangan belanjawan.

“Ini dibuktikan dengan minat rendah yang diraih daripada pembukaan semula tender Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun pada 9 Okt yang ditetapkan pada harga menghampiri nisbah bidaan kepada terbitan (BTC) 1.233 kali,” katanya.

Chung berkata harga IMTN dan CMTN itu diterima baik para pelabur, khususnya bagi IMTN tiga tahun yang menerima sambutan menggalakkan dengan nisbah BTC 2.9 kali.

Ini membolehkan Cagamas menetapkan harga IMTN tersebut pada harga rujukan terendah antara 3.45 peratus dan 3.50 peratus.

Syarikat itu juga berjaya memuktamadkan harga akhir lebih awal daripada nota setara yang diberikan penarafan ‘AAA’ yang turut memanfaatkan pasaran pada hari yang sama.

Ia juga berjaya memperolehi harga kompetitif CCP tiga bulan yang dirujuk pada lima mata asas di bawah Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur tiga bulan.

Pemuktamadan itu menjadikan terbitan Cagamas setakat ini bagi 2019 adalah bernilai RM6.7 bilion.

Kertas itu, yang akan ditebus pada nilai nominal penuh mereka pada masa matang, adalah obligasi tidak bercagar syarikat, kedudukan setara antara mereka dan dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada yang lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast